SEORANG Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak hari ini menyuarakan kebimbangan yang kerjasama negeri itu dengan syarikat multinasional China, Huawei dalam cadangan kerajaan negeri untuk enjin bayaran bil elektronik, Sarawak Pay boleh menimbulkan ancaman keselamatan negara.
ADUN Bukit Assek Irene Chang dari DAP dalam perdebatan Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak mengatakan Huawei dianggap ancaman keselamatan ke atas keselamatan siber negara oleh banyak kerajaan luar termasuklah Singapura, Australia, Amerika Syarikat dan India.
“Negara-negara ini masih menolak campur tangan teknologi Huawei dalam infrastruktur nasional mereka.
“Dan kebimbangan paling utama adalah spekulasi yang Huawei dimiliki oleh Kerajaan China,” katanya sambil menasihati kerajaan negeri untuk berhati-hati sebelum memberikan komitmen penuh.
Chang berkata kerajaan “perlu menjawab kepada rakyat”.
“Terutamanya ketika kita lebih terkedepan berbanding kerajaan persekutuan dan kerana itu mungkin tiada sistem atau aplikasi untuk mengawal data peribadi mereka yang menggunakan sistem bayaran ini.”
Chang berkata jika Sarawak tidak berhati-hati dan memberi tumpuan khusus kepada spekulasi antarabangsa melibatkan Huawei, “ada kemungkinan satu hari nanti kita mendapati semua data peribadi dan kerajaan berada dalam tangan Kerajaan China”.
Rang undang-undang itu dibentangkan Menteri Kewangan Kedua Sarawak Wong Soon Koh untuk mewujudkan sebuah agensi yang akan membantu kerajaan negeri mencapai matlamatnya untuk mengubah negeri itu kepada ekonomi digital yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi dengan melaksanakan proses perniagaan menerusi sistem elektronik seperti e-bayaran menggunakan Sarawak Pay dan e-perdagangan. – 8 November, 2017.
Untuk berita penuh sila baca di sini.
Komen