Terengganu mahu warta panduan kawal kebudayaan secepat mungkin


Diyana Ibrahim

Terengganu mahu mewartakan garis panduan penganjuran program hiburan kebudayaan dan pelancongan dalam masa terdekat, kata exco. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Februari, 2020.

TERENGGANU berharap dapat mewartakan garis panduan penganjuran program hiburan kebudayaan dan pelancongan dalam masa terdekat, kata exco hal ehwal kebudayaan Ariffin Deraman.

Exco pelancongan, kebudayaan dan teknologi maklumat itu berkata garis panduan berkenaan sepatutnya diwartakan pada Januari tetapi ditangguhkan kerana melibatkan peruntukan undang-undang.

“Peraturan secara keseluruhannya sudah siap sepenuhnya pada Disember lepas. Sepatutnya kita lancar Januari ini, namun sebab ada implikasi di peringkat undang-undang jadi tertangguh.

“Tapi kita akan cuba buat secepat mungkin juga,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ketika ini Terengganu menangguhkan semua program hiburan dan kebudayaannya dalam usaha mewartakan garis panduan kontroversi itu.

Panduan itu antara lain mewajibkan persembahan pentas hanya melibatkan penyanyi dan penari lelaki.

Persembahan melibatkan penyanyi dan penari wanita pula akan diwajibkan untuk dipersembahkan di depan penonton wanita saja di tempat tertutup.

Percampuran terlampau di antara lelaki dan wanita di atas pentas ketika persembahan tidak dibenarkan dan wanita juga diwajibkan untuk menutup aurat dan bertudung.

Garis panduan itu juga menggariskan peraturan bagi persembahan melibatkan orang bukan Islam.

Peraturan baharu itu selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mengawal aktiviti kesenian dengan ciri lebih Islamik yang dikritik kalangan penggiat industri di negeri itu.

Golongan itu memberitahu The Malaysian Insight, mereka bimbang industri pelancongan terjejas kerana kawalan berkenaan akan menyebabkan persembahan hilang daya tarikan.

Penggiat seni dan pengusaha pelancongan ini juga mengkritik kerajaan negeri yang didakwa tidak banyak melakukan promosi untuk menarik kedatangan pelancong.

Mengulas perkara itu, Ariffin memberi jaminan untuk memantau sekiranya benar promosi berkenaan kurang dijalankan.

“Sepatutnya tidak ada isu sebab kita dah buat promosi, kalau nak kata kita kurang promosi kerajaan negeri sama saja dengan negeri lain bahkan Terengganu lagi banyak produk pelancongan.

“Kita akan pantau nanti, kalau betul tak nampak sangat promosi dan kurang risalah atau banner untuk kempen,” katanya.

Tambahnya, Terengganu juga melancarkan Tahun Melawat Malaysia 2020 peringkat negeri dengan kerjasama kementerian pada Disember lalu dan menerima peruntukan untuk kempen itu.

Ditanya adakah sektor pelancongan Terengganu terkesan dengan wabak Koronavirus, jawabnya ia akan dapat diketahui selepas pulau di negeri itu dibuka semula untuk kunjungan pelancong.

“Terkesan itu pasti ada sebab pelancong China mereka akan pergi ke pulau, cuma nak tahu sejauh mana itu belum dapat dipastikan lagi.

“Sebab sekarang Terengganu ‘low season’ pulau masih tutup kerana peralihan musim tengkujuh dari tahun lepas. Jadi buat masa ini belum musim untuk kedatangan pelancong lagi.

“Tapi kita akan tahu Mac nanti, bila pulau sudah dibuka semula,” katanya. – 18 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen