Dengar suara Orang Asli untuk selamatkan ekosistem


Noel Achariam

Masyarakat Orang Asli di Ulu Geroh dan Ulu Gerentum di Perak mahu kerajaan negeri hentikan projek pembinaan hidro di kawasan mereka. – Gambar The Malaysian Insight, 23 Februari, 2020.

KALAU suara Orang Asli tidak didengar, maka ada kemungkinan ekosistem di Ulu Geroh dan Ulu Gerentum di Gopeng, Perak boleh lumpuh, kata pakar alam sekitar.

Ketua Jabatan Ekologi dan Etnozoologi Universiti Monash Dr Cyren Wong Zhi Hoong berkata penting untuk kerajaan negeri memberi perhatian terhadap ekosistem di kawasan itu.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya perlu mendengar mereka (Orang Asli). Walaupun mereka bekerja keras untuk menang negeri ini pada pilihan raya lalu, tetapi saya rasa mereka tidak cukup mendengar.

“Mereka perlu berusaha tunaikan janji dan lebih terbuka kepada idea untuk lebih banyak berhubung dengan Orang Asli,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Wong berkata Ulu Geroh adalah rumah untuk dua ikon negara – Raflesia, salah satu bunga yang paling jarang ditemui di dunia, dan rama-rama Rajah Brooke.

“Dulu ada banyak Raflesia di Ulu Gerentum dan Ulu Geroh, tetapi sekarang tidak lagi kerana banyak sangat gangguan disebabkan oleh aktiviti manusia.

“Penebangan hutan tidak terlalu banyak, tetapi ia membabitkan juga pembersihan tanah berskala kecil untuk pelancongan untuk membina jalan.

“Berdasarkan pemerhatian saya, alam sekitar semakin tenat dan membimbangkan masyarakat di sini.”

Orang Asli kehilangan hutan

Wong yang tinggal di Ulu Geroh dari 2013 hingga 2015 ketika menyiapkan kajiannya, turut mengalami sendiri cara hidup Orang Asli.

“Topik yang saya fokuskan ialah bagaimana kita boleh bekerjasama rapat dengan masyarakat Orang Asli untuk memelihara alam sekitar mereka dan melindungi spesies terancam seperti Rafflesia dan rama-rama Rajah Brooke.

“Dulu masa saya tinggal di sini, biasa lihat orang memburu pada waktu malam bila musim pelancong tidak ramai.

“Malah kaum lelaki tidak ada kerja tetap di kampung. Jadi, bila mereka tidak cukup wang untuk beli makanan, mereka pergi berburu.

“Baru-baru ini saya datang lagi pada 2019 dan tahun ini untuk jumpa mereka. Mereka kata terlalu banyak gangguan sekarang menyebabkan tidak ada haiwan lagi.”

Beliau berkata Orang Asli juga merungut kerana hasil durian juga berkurangan setiap tahun. – 23 Februari, 2020.

Berita penuh di sini.

Raflesia, salah satu bunga yang paling jarang ditemui di dunia, dan rama-rama Rajah Brooke dulu banyak di Ulu Geroh. – Gambar The Malaysian Insight, 23 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen