Ashraf Sinclair meninggal dunia


Pelakon Ashraf Sinclair meninggal dunia di Jakarta awal pagi ini pada usia 40 tahun kerana serangan jantung, lapor media di Indonesia. – Gambar Instagram, 18 Februari, 2020.

PELAKON Ashraf Sinclair, yang juga suami kepada pelakon dan penyanyi Bunga Cinta Lestari (BCL), meninggal dunia di Jakarta awal pagi ini kerana serangan jantung, lapor media di Indonesia.

Umurnya 40 tahun.

Kematiannya disahkan oleh pengurus BCL Doddy yang dipetik oleh beberapa media di Indonesia.

“Iya (meninggal dunia), serangan jantung,” katanya.

Sementara itu, portal berita mStar memetik pengesahan oleh ibu Ashraf sendiri, Khadijah Abdul Rahman.

“Anak saya Ashraf telah pulang ke Rahmatullah. (Saya) dalam perjalanan ke Jakarta sekarang,” katanya, dipetik mStar.

 Jenazah kemudian dibawa ke rumah di Jakarta Selatan dari Pusat Perubatan Metropolitan.

Ashraf mula dikenali ramai selepas berlakon dalam iklan Petronas sempena Hari Merdeka 1998 bertajuk Local Hero, atau lebih dikenali sebagai “kasut Gombak”.

Beliau kemudian semakin popular selepas membintangi filem Gol & Gincu pada 2005, yang setahun kemudian dijadikan siri televisyen dengan judul yang sama.

Ashraf mengahwini BCL pada 2008 dan dikurniakan seorang anak lelaki Noah Aidan Sinclair yang kini berumur 10 tahun. – 18 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen