Polis bongkar makmal dadah, 4 lelaki ditahan 


POLIS membongkar kegiatan satu makmal memproses dadah di sebuah kondominium di Jalan Yaacob Latif di Kuala Lumpur selepas menyerbu unit kondominium itu dan menahan empat lelaki dalam operasi Rabu lepas.

Dalam operasi pada 1.00 pagi itu, dua lelaki warga Taiwan, seorang lelaki warga China serta seorang lelaki tempatan berusia 30 hingga 49 tahun ditahan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata, polis merampas pelbagai jenis dadah, kenderaan, wang tunai serta peralatan memproses barang terlarang itu dianggar bernilai RM2.23 juta.

“Hasil pemeriksaan di kondominium itu, polis menemui pelbagai jenis dadah, antaranya 1,426 biji pil ektasi dan 27,546 gram ketamin serta peralatan memproses barang terlarang seperti ketuhar.

“Mereka ini dipercayai telah menjalankan kegiatan memproses dadah sejak dua bulan lepas di kondominium itu,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata kondominium itu disewa oleh suspek dengan bayaran RM2,500 sebulan, dan siasatan mendapati suspek warga Taiwan itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan, manakala dua lagi suspek warga asing telah tinggal dalam negara melebihi tempoh yang dibenarkan.

“Salah seorang suspek mempunyai kepakaran untuk menghasilkan dadah jenis ektasi serta ketamin, dan siasatan mendapati peralatan memproses dadah itu dibeli di kedai barangan logam. Polis percaya dadah yang diproses oleh mereka ini turut dijual untuk pasaran luar negara,” katanya menambah kesemua suspek positif dadah.

Mazlan berkata kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 19 Februari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu di Bukit Mertajam, polis sedang mencari seorang saksi penting bagi perbicaraan kes mengedar dadah mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang berlangsung esok di Mahkamah Tinggi 6 Pulau Pinang, dekat George Town.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Supt Mohd Mustafa Bidin berkata saksi berkenaan, Mohammad Rafi Ahmad, 40, yang beralamat terakhir di 1493 Kampung Jawa Baru, Perai di Bukit Mertajam, merupakan orang yang ditangkap bersama Orang Kena Tuduh (OKT) dalam satu kes mengedar dadah.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali lelaki itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Insp Nursyahirah Safri dengan 017-5853559 bagi menyalurkan maklumat, kerana menurutnya kehadiran saksi ini amat penting semasa perbicaraan esok. – Bernama, 17 Februari, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen