PERDANA Menteri Pakistan Imran Khan bertegas bahawa negaranya bukan lagi tempat yang selamat untuk kumpulan militan dan berkata pentadbirannya menyokong sepenuhnya proses damai Afghanistan.
Kenyataan beliau itu susulan daripada perjanjian yang hampir dicapai oleh Taliban dan Amerika Syarikat yag akan menyaksikan pengunduran tentera AS di Afghanistan.
Sebagai balasan, Taliban akan mengadakan rundingan dengan kerajaan Afghanistan, dan berpegang kepada jaminan keselamatan serta berusaha ke arah gencatan senjata komprehensif.
Pakistan, yang sejak sekian lama dituduh menyokong Taliban dan kumpulan ekstremis lain di sepanjang sempadan dengan Afghanistan dilihat sebagai knci utama dalam membantu dan melaksanakan sebarang perjanjian.
“Saya boleh katakan bahawa tiada tempat selamat untuk kumpulan militan di sini,” katanya pada satu sidang media di Islamabad.
“Apa sahaja situasi yang berlaku pada masa lalu, kini saya boleh nyatakan..hanya satu perkara yang kami mahukan: keamanan di Afghanistan.”
Kenyataan Imran Khan itu susulan tuduhan yang dibuat oleh timbalan presiden kedua Afghanistan, Sarwar Danish yang menuduh Pakistan membenarkan Taliban merekrut anggota baharu dari kem pelarian Afghanistan di Pakistan. – AFP, 17 Februari, 2020.
Komen