Jepun batal sambutan hari jadi Maharaja Naruhito


Sambutan hari jadi Maharaja Naruhito yang dijadualkan pada 23 Februari ini dibatalkan susulan penularan wabak Covid-19. – Gambar AFP, 17 Februari, 2020.

JEPUN hari ini mengumumkan pembatalan sambutan hari lahir Maharaja Naruhito kerana bimbang dengan penularan wabak Covid-19 di negara itu.

“Atas pelbagai sebab, kami memutuskan untuk membatalkan lawatan orang ramai ke istana sempena hari lahir Maharaja,” menurut kenyataan istana.

“Penampilan Maharaja pada waktu pagi dan majlis menandatangani buku ucapan hari lahir akan dibatalkan.”

Setakat ini sekurang-kurangnya 60 orang didiagnosis dengan Covid-19 dan Menteri Kesihatan Jepun Katsunobu Kato semalam memberi amaran negara itu sedang memasuki “fasa baharu” wabak virus itu.

Sambutan hari jadi Maharaja Naruhito dijadualkan pada 23 Februari ini. Ia merupakan sambutan pertama semenjak maharaja itu menaiki takhta tahun lepas.

Kali terakhir sambutan dibatalkan adalah pada 1996, selepas beberapa individu dijadikan tebusan di kedutaan Jepun di Peru pada satu majlis meraikan ulang tahun kelahiran diraja. – AFP, 17 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen