Utusan siar iklan cari kakitangan


Mohd Farhan Darwis

UTUSAN Online mula menyiarkan iklan jawatan kosong di laman web rasmi akhbar itu yang kini dikawal pemegang permit penerbitannya, Media Mulia Sdn Bhd.

Iklan itu antara lain menawarkan jawatan pengarang berita, penolong pengarang berita, wartawan, pelukis kreatif, dan jurufoto.

Iklan serupa sudahpun berlegar di media sosial sejak bulan lalu selepas syarikat itu dilaporkan merancang untuk menerbitkan semula Utusan seawal April.

Beberapa bekas pengarang Utusan juga dilaporkan akan kembali bertugas dengan syarikat baharu untuk menyusun operasinya dan akan diketuai Ketua Pengarang Malaysia Reserve Azlan Jaafar.

Namun difahamkan, syarikat itu akan mengutamakan peluang kerja itu untuk diisi bekas pekerja Utusan dan akan membuka sebahagian lagi kepada umum.

Ratusan bekas kakitangan Utusan termasuk yang menerima skim pemisahan sukar itu masih menunggu syarikat tersebut melunaskan bayaran gaji tertunggak dan bayaran lain.

Syarikat asal pemegang permit penerbitan Utusan, Kumpulan Utusan pada 9 Oktober memutuskan untuk menghentikan operasi selepas meluluskan cadangan penggulungan syarikat secara sukarela.

Pengerusi Eksekutifnya Abd Aziz Sheikh Fadzir ketika itu berkata langkah tersebut terpaksa diambil kerana lembaga pengarah berpendapat bahawa syarikat tidak lagi mampu meneruskan perniagaan.

Sebanyak 70% kepentingan Kumpulan Utusan dalam anak syarikat, Dilof Sdn Bhd seterusnya dijual kepada satu syarikat dikaitkan dengan jutawatan Syed Mokhtar Albukhary, Aurora Mulia.

Aurora Mulia kemudian ditukar nama menjadi Media Mulia Sdn Bhd yang turut memegang permit penerbitan Utusan. – 17 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen