Azmin rayu pengundi Ampang sokong Dr Mahathir sebagai PM


Chan Kok Leong

Spekulasi mengenai Azmin menyertai Gerakan beredar di tengah kemelut kuasa dengan presiden PKR, Anwar Ibrahim sejak pilihan raya parti pada 2018. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 Februari, 2020.

TIMBALAN Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menggesa pengundi Ampang menyokong Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk terus memimpin negara di tengah kehangatan spekulasi kewujudan Pakatan Nasional.

“Hentikan politicking, kerana sudah terlalu banyak politicking di negara ini,” kata Azmin dalam ucapannya pada majlis sambutan Tahun Baru Cina Ampang.

“Tolong sokong Perdana Menteri Dr Mahathir untuk memimpin negara dan membangunkan semula ekonomi berikutan wabak novel koronavirus.

“Biarkan dia memimpin supaya selepas Apec, Malaysia boleh muncul sebagai sebuah negara yang mampu bersaing sekali lagi,” kata menteri hal ehwal ekonomi itu.

Walaupun mewakili kerusi Parlimen Gombak dan kerusi DUN Bukit Antarabangsa, Azmin merupakan salah seorang VIP utama di majlis yang dianjurkan pendukung kuatnya, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Walaupun Azmin mengadu mengenai keadaan politik yang tidak diperlukan di negara ini, beliau memulakan ucapannya dengan mengalu-alukan Presiden Gerakan Dominic Lau, sebuah parti yang dikaitkan dengannya.

“Selepas ini akan ada pelbagai cerita,” kata Azmin.

Spekulasi mengenai Azmin menyertai Gerakan beredar di tengah kemelut kuasa dengan presiden PKR, Anwar Ibrahim sejak pilihan raya parti pada 2018.

Semasa timbalan presiden PKR mengadu mengenai pelantikan tidak adil dalam jawatankuasa pimpinan pusat PKR, pengikut Anwar mendakwa bahawa pemimpin itu adalah orang yang terlibat dalam kumpulan yang mahu mengekalkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri untuk tempoh penuh pentadbiran dengan mengorbankan presidennya sendiri.

Spekulasi itu muncul semula bulan ini selepas pendedahan bahawa Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir bagi membentuk Pakatan Nasional.

Tambah menghangatkan spekulasi tersebut, Presiden PAS Abdul Hadi Awang juga berkata bahawa partinya turut melancarkan usul “undi percaya” di Parlimen supaya Dr Mahathir terus menerajui negara sehingga akhir penggal. – 16 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen