KETUA Menteri Sarawak Abang Johari Openg hari ini mengumumkan belanjawan defisit RM8.22 bilion untuk 2018. Sebahagian besarnya akan dibelanjakan bagi projek-projek pembangunan di negeri itu.
“Sebagai sebuah negeri yang sedang membangun, Sarawak perlu meneruskan belanjawan “development-biased” bagi merangsang ekonomi dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi tahun ini,” katanya ketika membentangkan belanjawan negeri hari ini.
Sejumlah RM5.745 bilion atau 70% dari belanjawan diperuntukkan untuk pembangunan sementara baki RM2.481 bilion untuk perbelanjaan operasi.
Daripada RM5.745 bilion, sebanyak RM3.063 bilion atau 53% akan disalurkan ke pembangunan luar bandar.
Pada 2016, RM2.65 bilion dibelanjakan untuk pembangunan luar bandar, sementara RM2.982 bilion diperuntukkan untuk tahun ini.
Abang Johari berkata usaha berterusan dalam pembangunan luar bandar penting bagi mencapai matlamat pembangunan negeri iaitu “membuka peluang lebih besar di kawasan luar bandar dan terpencil demi kemakmuran ekonomi.”
Ini merupakan belanjawan pertama Abang Johari sejak beliau menggalas jawatan ketua menteri selepas kematian bekas ketua menteri Adenan Satem pada Februari lalu.
Ada enam strategi dalam belanjawan ini yang menurut Abang Johari bermatlamat untuk mencapai “pembangunan ekonomi yang lebih besar dan seimbang dan untuk menyokong tahap pertumbuhan ekonomi sasaran, serta memberi keutamaan kepada ekonomi digital”.
Beliau juga berkata wang untuk pembangunan akan disalurkan kepada projek-projek utama seperti inisiatif ekonomi digital dan “komitmen untuk melengkapkan pelaksanaan projek berterusan juga sebagai kapasiti bagi melaksanakan projek-projek sepanjang tahun”.
Ekonomi digital adalah ekonomi baru yang dicipta Abang Johari untuk memacu agenda ekonomi digital negeri yang merangkumi pembinaan infrastruktur digital, meletakkan kerajaan digital dan mengusahakan penyelidikan dan pembangunan bakat digital.
RM2.481 bilion untuk perbelanjaan operasi adalah peningkatan sebanyak RM275 juta atau 12%, daripada RM2.206 bilion perbelanjaan yang diluluskan untuk tahun ini.
Sejumlah 31% atau RM772 juta untuk gaji kakitangan, 35% atau RM80 juta untuk bekalan dan perkhidmatan, 32% atau RM802 juta untuk geran dan bayaran tetap, dengan baki untuk pemerolehan aset.
Abang Johari berkata belanjawan 2018 akan mencatatkan defisit sebanyak RM256 juta kerana hasil jangkaan negeri diramalkan sekitar RM5.525 bilion. Manakala perbalanjaan dianggarkan pada sekira RM5.781 bilion.
Beliau berkata hasil negeri ketika ini berada pada trend penurunan sejak 2015 disebabkan kejatuhan harga minyak dan gas serta pengurangan pendapatan daripada perhutanan dan pendapatan dividen, manakala perbelanjaan menunjukkan trend peningkatan. – 8 November, 2017.
Komen