Lelaki selamba curi arca RM2j dari galeri di Paris


Artis Colombia, Fernando Botero semasa pameran hasil seninya di Rom pada Ogos lalu. Patung gangsa karyanya yang bernilai kira-kira RM2 juta dicuri dari sebuah galeri di Paris hujung minggu lalu. – Gambar EPA, 8 November, 2017.

SEBUAH galeri lukisan di Paris, yang terletak di kawasan keselamatan tinggi tidak jauh dari istana presiden, menanggung malu selepas seorang pencuri dengan bersahaja membawa keluar sebuah patung gangsa bernilai hampir RM2 juta, hujung minggu lalu.

Pencuri itu masuk ke galeri tersebut sebelum dengan selamba membawa keluar patung ibu dan anak karya artis Colombia, Fernando Botero.

Rakaman CCTV menunjukkan lelaki berjambang itu dengan penuh yakin berjalan membawa patung gangsa itu melalui kawasan yang dikawal ketat, yang menempatkan kedutaan Britain dan Jepun.

Kawalan keselamatan di kawasan sekitar galeri itu diperketatkan sejak serangan pengganas di Paris pada 2015.

Patung berukuran lebih kurang setengah meter dan beratnya hampir 14kg itu dicuri dari tapak pamerannya yang terletak berdekatan pintu.

Kejadian berlaku lebih kurang pukul 7 malam Sabtu lepas ketika galeri hampir ditutup dan kehilangan patung itu hanya disedari ketika petugas hendak menutup galeri berkenaan. Penggera keselamatan di galeri berkenaan tidak berbunyi.

Galeri itu terletak hampir bertentangan dengan pejabat Kementerian Dalam Negeri, yang bertanggungjawab terhadap polis dan kawalan keselamatan.

Botero adalah artis Amerika Latin terkenal yang hasil karyanya selalu menampilkan sosok lelaki atau wanita dengan bentuk badan yang bulat.

Hasil karya Botero tidak asing di Malaysia. Pada 2005, Parlimen heboh tentang pembelian dua karyanya, serta sebuah karya lain, oleh Malaysian Airlines berjumlah RM1.55 juta.

Malaysian Airlines ketika itu membeli lukisan Botero bertajuk “Still Life With Violin” dan “Still Life With Lobster”, masing-masing berharga RM1.14 juta dan RM342,000, serta sebuah karya Sophia Vari berjudul “Coeur de L’Impenetrable” berharga RM75,000. –  8 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen