Belum ada perkembangan isu hak milik tanah kementerian, kata Chin Tong


Mohd Farhan Darwis

Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong bercakap kepada pemberita selepas menghadiri forum Festival Seni Bina Kuala Lumpur, di ibu negara, hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 16 Februari, 2020.

BELUM ada perkembangan terkini berhubung isu 16 pertukaran hak milik tanah milik Kementerian Pertahanan, kata Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong.

Beliau sebaliknya berkata, perkara itu kini berada di bawah tanggungjawab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas kementeriannya menyerahkan laporan mereka kepada agensi anti rasuah itu.

“Kami minta SPRM jawab, kita sudah serahkan kepada SPRM…sekarang di bawah siasatan SPRM, sekiranya perlu penjelasan dapatkan daripada SPRM.

“(Setakat ini) belum lagi, tiada sebarang perkembangan, daripada siasatan (kementerian) dan hasil siasatan sebelum ini ada di laman web kementerian, laporan sebanyak 500 muka surat boleh di dapati di Parlimen dan laman web kita,” kata Liew.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri forum Festival Seni Bina Kuala Lumpur, di ibu negara, hari ini.

Liew berkata, sebarang hasil siasatan kini terserah kepada SPRM kerana kementeriannya tiada kuasa untuk menyiasat.

“Itu terpulang kepada SPRM, Mindef sudah menjalankan siasatan bersama dengan jawatankuasa yang diketuai oleh Ambrin Buang ...hasil itu telah dikemukakan kepada Parlimen dan juga SPRM, dan kepada umum.

“Jadi siasatan selanjutnya kita akan serahkan kepada SPRM, kerana kuasa siasatan tidak ada di Mindef,” katanya.

Pada 5 November tahun lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata agensi penguatkuasa anti rasuah itu masih menyiasat 16 kes projek pertukaran tanah milik Kementerian Pertahanan yang didakwa menyebabkan kerugian dan ketirisan pada hasil kerajaan.

Beliau dilapor berkata, SPRM memerlukan lebih masa untuk menyiasat kes itu memandangkan mereka berdepan kesukaran mendapatkan bukti.

Siasatan mengenai perjanjian pertukaran tanah dilancarkan selepas audit Kementerian Pertahanan mendapati terdapat penglibatan bekas perdana menteri dan menteri pertahanan dalam urusan itu.

Perkara itu didedahkan oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu ketika pembentangan laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan di Dewan Negara pada 9 Mei tahun lalu.

Antara yang dipanggil memberikan keterangan adalah bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas menteri pertahanan Hishammudin Hussein. – 16 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen