Tangani 3 perkara supaya anak muda sokong, kata Syed Saddiq


SM Amin

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, berdasarkan kajian politik yang dilakukan, tiga isu utama untuk memenangi hati anak muda iaitu pekerjaan, kos sara hidup dan pendidikan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 Februari, 2020.

KERAJAAN akan menumpukan usaha meningkatkan peluang pekerjaan, mengurang kos sara hidup dan menambah baik sistem pendidikan untuk memulihkan sokongan orang muda, kata Syed Saddiq Abdul Rahman.

Menteri belia dan sukan itu berkata ia memandangkan sokongan anak muda terhadap kerajaan sangat rendah berdasarkan keputusan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) sejak tahun lalu.

“Kita cuba terus berkhidmat untuk mereka dan cuba menyelesaikan masalah mereka. Berdasarkan kajian politik yang dilakukan, tiga isu utama untuk memenangi hati anak muda iaitu pekerjaan, kos sara hidup dan pendidikan,” katanya.

Pakatan Harapan tewas lima daripada enam PRK yang dijalankan selepas lapan bulan menguasai Putrajaya dan terbaru di Kimanis yang kekal dipegang BN.

Dalam siri PRK tersebut juga, Pakatan Harapan tewas di hampir semua saluran anak muda.

Menurut Syed Saddiq, kerajaan akan melancarkan ‘Malaysia @Work’ atau Malaysia Kerja seawal suku kedua tahun ini untuk menawarkan 300,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan RM6.5 bilion.

“Ia telah dibincangkan begitu lama dengan ahli Kabinet, dan perdana menteri dan menteri kewangan akhirnya dapat persetujuan,” katanya kepada pemberita di Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Tambahnya, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja juga sudah membentangkan program untuk melaksana Malaysia @Work ke Kabinet.

Malaysia @Work merupakan program yang mensasarkan segmen khusus tenaga kerja terutamanya pemuda melalui Graduates @Work dan Apprentice @Work; Women @Work dan Locals @Work.

Selain itu kata Syed Saddiq, kerajaan juga akan mencari penyelesaian terbaik dalam isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terutamanya peminjam dari keluarga susah.

Jelasnya, beliau akan berusaha agar penjimatan perbelanjaan yang dijalankan kerajaan akan dapatu disalurkan untuk peminjam PTPTN.

“Isnin ini saya akan berjumpa dengan pengurusan tertinggi PTPTN, bagi mencari jalan terbaik untuk meringankan beban khususnya yang datang dari keluarga susah dan ingin melanjutkan pelajaran.

“Pengerusi PTPTN sentiasa bekerjasama, terbuka berdialog, berdiskusi dan berbincang bagi memastikan isu ini diselesaikan bersama.

“Kita perlu berbincang bersama dengn kementerian kewangan untuk dana tambahan dan Kementerian Pendidikan Malaysia kerana kalau ada penjimatan di sini sana, akhirnya penjimatan itu dapat disalurkan kepada peminjam PTPTN,” katanya.

Tambahnya usaha itu sudahpun hampir di peringkat akhir dan beliau menunggu keputusan PTPTN dan juga Kabinet. – 16 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen