Hidu gam dan ketagihan yang tidak selesai


Zainal Rashid Ahmad

MELIHAT sekumpulan hampir 20 remaja berusia belasan tahun menyedut gam secara terbuka di kawasan awam - tentulah mengejutkan.

Saya fikir isu penagihan gam sudah berakhir!

Rupanya, hingga sekarang – menyedut gam masih menjadi kegilaan remaja pada usia sekolahan.

Pada 2002 dan 2006, program Edisi Siasat NTV7 dan laporan penyiasatan Bongkar siaran RTM, mendedahkan mengenai betapa teruknya gejala penagihan gam di kalangan remaja.

Fokus laporan tertumpu di sekitar Kampung Medan, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Cheras dan kawasan peleseran anak muda di Bukit Bintang.

Di PPR Cheras, Edisi Siasat mendedahkan kes penagihan gam membabitkan remaja berusia 12 tahun.

Pelajar sekolah rendah ini ditemui dalam keadaan “separuh sedar” memegang plastik kecil berisi cairan gam dan berjalan menyasau di stesen minyak Taman Tenaga.

Lebih tragik, 500 meter dari Taman Tenaga, di belukar bawah laluan kabel letrik - remaja berusia 15 tahun melahirkan bayi ketika sedang “lalok” menghisap gam.

Remaja itu pengsan ketika melahirkan bayi dalam kegelapan malam dan ditemukan orang ramai pada esok hari.

Bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan dan mati di dalam semak.

Ini antara kes tragik mengenai penagihan gam. Gejala yang menakutkan dan memuncak sekitar tahun 2000 hingga 2006.

Waktu itu, gam boleh dibeli secara mudah di kedai hardware semurah RM5. Tiada sebarang undang-undang yang mengawal penjualan dan pembelian gam.

Akses bekalan yang mudah serta tiada tindakan undang-undang yang boleh dikenakan terhadap penjual dan penagih, menyebabkan pesta gam berleluasa tanpa kawalan.

Mepthaphetamin, amphetamin, ketamin dan eramin

Nama-nama ngeri ini tiada kaitan dengan nilai baik. Empat jenis dadah sintetik ini muncul dan menguasai pasaran pada awal abad ke 21.

Dadah sintetik muncul dan menghapuskan pengaruh heroin, morfin, ganja dan candu yang dianggap dadah lapuk.

Dadah sintetik direka dengan keperluan khusus berhibur dan pesta seks. Disebut juga sebagai dadah parti.

Pil Eramin (5) paling lama di pasaran dan paling mudah diakses kerana pengedarannya wujud sejak tahun 80-an.

Manakala pil ekstasi dan pil kuda (WY) menjadi dadah antara dua darjat.

Anak-anak muda berpendapatan tinggi (atau memang anak orang kaya) melanggan ekstasi bagi tujuan berhibur di kelab elit.

Pada harga pasaran antara RM120 hingga RM200 sebiji, ekstasi dalam bentuk pil dinikmati secara terus melalui teknik kulum dan telan.

Manakala pil WY pada masa itu dijual pada harga murah antara RM10 hingga RM20. Kaedahnya masih menggunakan teknik bakar dan sedut asapnya (chase the dragon).

Kemunculan dadah sintetik memberikan impak besar pada negara. Dadah sintetik menular dan popular dengan cepat. Malah, mencipta perniagaan jenayah dengan nilai bilion ringgit.

Sama ada Malaysia dilihat sebagai negara transit atau negara pengguna, dadah sintetik satu masalah besar pada dekad pertama alaf baharu.

Waktu itu juga timbul kejutan. Sumber pihak berkuasa menyebut, anggaran sejuta pengguna dadah sintetik di negara ini.

Tidak seperti penagih dadah konvensional tinggalan zaman hippie yang mudah dikenalpasti, penagih dadah sintetik sangat eksklusif.

Penggunaannya di pusat hiburan serta penagih yang tidak hidup bersepah di jalanan, menjadikan kewujudannya terasa senyap.

Hari ini penagihan dadah antara isu yang sudah dianggap lapuk. Walaupun media masih berminat menyiarkan berita rampasan dadah bernilai puluhan hingga ratusan juta ringgit oleh pihak polis.

Namun, usaha memerangi penyalahgunaan dadah sudah memudar.

NGO hak asasi berbau politik memenuhi medan gerakan sosial, menyisihkan isu memerangi dadah yang dianggap isu lapuk yang tidak pernah selesai.

Malah, kingpin (raja pengedar) dadah sintetik didedahkan sebagai individu yang kaya-raya. Memiliki aset hampir setengah bilion ringgit apabila hartanya disita.

Kingpin dadah sintetik tempatan ini masih diburu polis dan dipercayai sudah melarikan diri ke negara jiran.

Hidu gam masih berleluasa

Anda boleh pergi ke kawasan lombong di belakang Flat Sri Johor, ia seperti melangkah ke alam zombie.

Saya meninjau di sekitar Cheras - menjejak semula sejarah dua dekad dahulu. Melihat semula ancaman penyalahgunaan gam di kalangan remaja.

Di PPR Cheras, tiada perubahan. Di jambatan kecil belakang Flat Sri Johor, remaja bersidai di galang besi dan menyedut gam secara berkumpulan.

Plastik di tangan dengan lelehan gam berwarna kuning kecoklatan. Remaja semuda usia 15 tahun melepak dan menyedut gam dengan wajah yang pucat-pasi tanda mengalami keracunan kesan penagihan.

Di taman-taman sekitar Kampung Medan, remaja lelaki dan perempuan masih menyedut gam dan berbual dalam samar cahaya lampu.

Itu dunia suram mereka.

Sebagai wartawan, saya berasa sangat terkejut. Sekitar 20 tahun selepas gam menjadi berita besar di media massa, hingga kini ia masih isu yang berleluasa.

“Ada kawan kami yang jadi gila kerana gam,” kata veteran kaki gam di Jalan Petaling.

Lelaki kurus kering ini berusia empat puluhan. Asal dari PPR Sentul dan kini hidup merayau mencari makan sekitar Pasar Karat Jalan Petaling.

“Aku hisap gam dah 20 tahun. Ada gila juga, tapi sikit saja,” kata penagih tegar gam ini.

Kami duduk berbual di warung ketika dunia rancak perniagaan jalanan di Pasar Karat sudah mengendur pada jam 11 pagi.

“Di tempat aku, budak-budak muda ramai jadi kaki gam, tetapi aku segan nak campur sebab kita dah tua,” katanya lagi.

Bekalan gam masih dibeli di kedai hardware. Mendapatkan bekalan gam adalah kerja paling mudah di dunia.

Harga setin kecil gam sekarang sekitar RM10.

“Setin gam tahan sehari. Murah guna gam berbanding kena syabu atau ganja,” kata penagih tegar Jalan Petaling ini.

Pada malam hari, saya menyusur kawasan belukar Flat Sri Pulau Pinang di Cheras. Hutan sudah dibersihkan dan dijadikan laluan kenderaan.

Belukar yang menjadi sarang gam sudah lama dihapuskan.

“Dah sepuluh tahun belukar ditebas dan dijadikan jalan terbuka,” kata penduduk.

Saya meninjau di kawasan padang permainan sekitar Flat Sri Johor. Keadaan sunyi dan diterangi lampu.

Saya berjalan di kawasan tepi padang dan tidak menemukan bekas plastik sisa gam.

“Tempat ini kawasan sukan sekarang. Malam lampu terang dan tak ada penagih gam di sini,” kata penduduk yang kebetulan menegur saya.

Secara rambang, di sekitar PPR Cheras, hanya kawasan berdekatan lombong Flat Sri Johor yang masih dijadikan sarang penagihan gam.

Tiga lokasi utama lain di padang bolasepak Flat Sri Johor dan belukar Sri Pulau Pinang sudah dibersihkan.

Kawasan ketiga, di sekitar parkir Stadium Badminton Cheras, kini ditutup kerana pembangunan semula.

Saya meninjau di kawasan padang permainan Flat Sri Melaka dan padang bolasepak berdekatan Taman Tenaga.

“Lama dah kawasan ini bersih. Budak-budak gam dah pupus di sini,” kata penjaga pusat snuker di kawasan berdekatan.

Secara rambang, nampak jelas penyalahgunaan gam di kalangan remaja sangat dikawal.

Namun, apa yang disaksikan di jambatan lombong berdekatan Flat Sri Johor, masih igauan yang menakutkan.

Saya mencari waktu untuk meninjau semula di sekitar Taman Datuk Harun, Seksyen 24 Shah Alam, Kampung Padang Balang dan Flat Sentul.

Saya harap zon zombie di kawasan ini sudah dihapuskan. – 16 Februari, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen