Pakej rangsang ekonomi perlu promosi produk Malaysia, kata pengilang


Khoo Gek San

Promosi jenama tempatan akan mengukuhkan kapasiti dan keupayaan industri pembuatan tempatan sekali gus mencerahkan peluang bagi membina nama jenama di pasaran eksport. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Februari, 2020.

PUTRAJAYA perlu menggalakkan promosi beli produk buatan Malaysia sebagai sebahagian pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan pada 27 Februari ini bagi mengurangkan kesan penularan wabak Covid-19 terhadap ekonomi negara.

Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Soh Thian Lai langkah tersebut akan mewujudkan permintaan pasaran domestik yang teguh dan mampan untuk produk perkilangan Malaysia.

“Langkah ini akan mengukuhkan kapasiti dan keupayaan industri pembuatan tempatan sekali gus mencerahkan peluang bagi membina nama jenama di pasaran eksport,” katanya.

Beliau berkata kerajaan perlu mencapai perjanjian perdagangan yang memudahkan akses produk Malaysia di pasaran luar.

“Malaysia perlu memeterai Perjanjian Kerjasama Komprehensif Serantau (RCEP) dan melaksanakan Perjanjian Bebas Perdagangan (FTA) yang sudah ditandatangani seperti Perjanjian Progresif Kerjasama Trans Pasifik (CTTP) bagi menyediakan pasaran untuk pengeksport Malaysia,” katanya.

Beliau juga mencadangkan kerajaan untuk memansuhkan nilai siling Geran Pembangunan Pasaran (MDG) sebanyak RM300,000 kerana ia akan menggalakan lebih banyak SME terlibat dalam aktiviti promosi eksport antarabangsa dan meneroka lebih banyak pasaran.

Beliau juga menggesa kerajaan mewujudkan semula geran promosi jenama yang dilancarkan pada 2003 tetapi usaha itu digantung.

“Langkah ini akan membangunkan dan mempromosikan nama produk Malaysia di pasaran antarabangsa.”

Pada Jumaat Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pada 27 Februari ini.

Pakej ini bertujuan mengurangkan kesan penularan Covid-19 ke atas ekonomi Malaysia serta menjaga kebajikan rakyat. – 16 Februari, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen