Normah Ishak wanita pertama ketuai unit anti pengganas


Kalidevi Mogan Kumarappa

Normah Ishak dilantik sebagai ketua penolong pengarah Bahagian Anti Pengganas, menjadikannya wanita pertama mengetuai unit itu. – Gambar Facebook, 15 Februari, 2020.

PENOLONG Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Normah Ishak dilantik sebagai ketua penolong pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8), menjadikannya wanita pertama mengetuai unit itu.

Beliau akan mengambil alih daripada Ayob Khan Mydin Pitchay yang dilantik sebagai ketua polis Johor berkuat kuasa 6 Mac ini.

Mengesahkan pelantikan itu kepada The Malaysian Insight, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, Normah mempunyai kelayakan yang mencukupi untuk menggantikan Ayob.

“Deputi Komisioner Normah Ishak memang layak untuk memikul tanggungjawab tersebut. Berkelulusan tinggi, penuh berpengalaman, rajin, berdedikasi tinggi dan beramanah,” kata Hamid melalui WhatsApp kepada The Malaysian Insight.

Menurut Hamid, pelantikan Normah melakar sejarah baru dalam bahagian itu.

Bagaimanapun katanya ia bukan sesuatu yang pelik memandangkan hampir dua pertiga daripada pelajar institusi pengajian tinggi adalah juga wanita.

The Malaysian Insight difahamkan antara tugas pertama Normah adalah membawa pulang 65 rakyat Malaysia yang terkandas di Syria selepas datang ke negara itu untuk terbabit dalam kumpulan militan Daesh.

Sementara itu, seorang pegawai di bahagian anti pengganas berkata pelantikan Normah sebagai pengganti Ayob diterima dengan hati terbuka oleh semua pegawai dan anggota bahagian itu.

“Jantina tidak akan membezakan tugas di sini sebaliknya pengalaman dan ketegasan pegawai itu. 

“Kami yang sudah bekerja di bawah beliau (Normah) sejak empat tahun lalu memang arif dengan cara kerjanya yang tegas, rendah diri dan boleh dijadikan ikon dalam kalangan polis wanita,” katanya.

Normah, yang menyertai pasukan Polis Di-Raja Malaysia pada tahun 1991, dilantik sebagai timbalan Ayob pada 2016. β€“ 15 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen