Penyerang gereja di Texas pernah lari dari hospital mental


Anggota polis menjalankan pemeriksaan di perkarangan sebuah gereja di Sutherland Springs selepas 26 orang terbunuh dalam kejadian serangan bersenjata di Texas. – Gambar AFP, 8 November, 2017.

PENYERANG yang menembak mati 26 orang di gereja di Texas pernah melarikan diri dari hospital mental dan membuat ancaman bunuh kepada pihak atasannya ketika berkhidmat dalam Tentera Udara Amerika Syarikat, menurut laporan polis.

Laporan yang diperoleh stesen TV Houston, KPRC, juga mengatakan Devin Patrick Kelley pernah ditangkap menyelinap masuk dengan senjata api ke pangkalan Tentera Udara di New Mexico di mana dia bertugas.

Kelley, 26, mati akibat kecederaan ditembak sendiri pada Ahad selepas membunuh 26 orang dan mencederakan 20 yang lain dengan senapang di sebuah gereja di bandar kecil Sutherland Springs, Texas.

Kelley berkhidmat dengan Tentera Udara dari 2010 hingga 2014.

Dia pernah dibicarakan oleh mahkamah tentera pada 2012 kerana menyerang isteri dan anak tirinya, menyebabkan tengkorak bayi itu retak dan dijatuhi hukuman penjaran selama 12 bulan dan dibebaskan pada 2014.

Menurut laporan polis di El Paso, Texas, Kelley dilaporkan hilang pada Jun 2012 dari sebuah pusat psikiatri yang menempatkannya lebih awal sebelum dia disabitkan dengan kesalahan itu.

Pihak Peak Behavioral Health Services, yang melaporkan kehilangannya memberitahu polis Kelley “mengalami gangguan mental.”

Dia berkata Kelley “merbahaya kepada dirinya sendiri dan orang lain” dan “ditangkap membawa senjata api ke pangkalan Tentera Udara Holloman”.

Polis juga diberitahu Kelley dituduh “cuba melakukan ancaman mati” terhadap pihak atasannya.

Semasa menerima laporan itu, polis diberitahu yang lokasi Kelley sudah dikenal pasti dan ditahan.

Pihak berkuasa mengatakan amukan Kelley mungkin berpunca daripada masalah rumah tangga berdasarkan mesej berbaur ancaman yang dihantar kepada ibu mertuanya.

Pihak tentera udara mengatakan sabitan kes keganasan rumah tangga Kelley tidak serahkan kepada pangkalan data negara yang bertanggungjawab menyenaraikan mereka yang dilarang daripada membeli senjata api. – AFP, 8 November, 2017.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen