'Sarawak for Sarawakian' umum bertanding pilihan raya negeri


Desmond Davidson

SARAWAK for Sarawakian (S4S) hari ini mengumumkan mereka akan bertanding “di semua kerusi bandar dan utama” pada pilihan raya negeri akan datang.

Kumpulan pejuang hak negeri itu berkata ia adalah untuk menghantar wakil mereka ke Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memperjuangkan “100% kemerdekaan” dari Persekutuan Malaysia.

Jurucakap kumpulan itu Erick Chin berkata keputusan untuk meletakkan calon itu diambil “selepas semua rundingan dan pemerhatian berkaitan referundum (keluar Malaysia) gagal”.

Chin tidak menyatakan apakah rundingan yang dibuat dan dengan siapa ia dilakukan, tetapi dalam risalah dilampirkan bersama kenyataan media ada menjelaskan perbezaan pendirian mereka dengan parti politik Sarawak dalam Pakatan Harapan dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Mereka mendakwa parti politik dari Semenanjung- PH, PAS dan Barisan Nasional – akan menjarah sumber gas dan minyak Sarawak dan memansuhkan autonomi imigresen, manakala GPS pula walaupun berusaha memberi tekanan untuk mendapatkan semua kuasa autonomi pentadbiran tidak mahu meninggalkan Persekutuan Malaysia.

Risalah itu menyatakan S4S akan mendesak untuk “100% kemerdekaan” supaya Sarawak boleh mengawal sepenuhnya sumber alamnya.

“Rakyat Sarawak merasakan Pakatan Harapan dan Gabungan Parti Sarawak mengecewakan mereka dengan korupsi berterusan dan janji tak tertunai.

“Kami percaya rakyat Sarawak berharap kuasa ketiga untuk masuk ke dalam lanskap politik Sarawak.”

Memandangkan S4S masih belum berdaftar sebagai entiti sah di bawah Jabatan Pendaftaran Persatuan (RoS), Chin berkata pilihan mereka sekarang adalah meletakkan calon Bebas atau bekerjasama dengan kumpulan hak lain seperti Star atau Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Tambahnya, pilihan kaedah dan cara bertanding masih dibincangkan dan belum dimuktamadkan ketika ini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan keutamaan mereka sekarang adalah meletakkan wakil dalam DUN untuk membentangkan pelaksanaan referendum pemisahan.

“Calon kami akan memberi tumpuan kepada ordinan referendum dan kemerdekaan. Kami tak mahu berkongsi pendapatan dengan Malaya lagi.”

Chin juga berkata nama bakal calon dan kerusi ditandingi akan “didedahkan tidak lama lagi”.

Penggal pentadbiran GPS akan tamat Jun tahun depan. – 14 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen