Rusia cabar laporan salahkan Syria dalam serangan gas sarin


Batu nisan di perkuburan besar mangsa serangan gas sarin 2013, di Erbeen, pinggir Damsyik. Sekurang-kurangnya 87 maut pada 4 April tahun ini apabila gas sarin dijatuhkan di Khan Sheikhun, sebuah bandar di wilayah Idlib di barat laut Syria. – Gambar EPA, 8 November, 2017.

RUSIA mencabar hasil penemuan penyiasatan yang mengatakan kerajaan Syria bertanggungjawab terhadap serangan gas sarin semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Selasa.

Timbalan Duta Rusia, Vladimir Safronkov berkata tugas panel penyiasatan itu “sangat mengecewakan” dan menuduh ia digunakan oleh Barat untuk menyalahkan rejim Presiden Bashar al-Assad.

Mekanisme Penyiasatan Bersama (JIM) menyimpulkan dalam laporan bulan lalu bahawa Syria bertanggungjawab terhadap serangan sarin pada 4 April di Khan Sheikhun yang membunuh ramai orang termasuk kanak-kanak.

Rusia, sekutu Syria, dan Amerika Syarikat (AS) mengemukakan resolusi draf bersaing untuk meneruskan kerja panel selepas mandatnya tamat pada 16 November.

“Kami yakin mekanisme itu, dengan tanggungjawab yang tinggi, tidak boleh bertindak dengan cara ini,” kata Safronkov kepada majlis itu.

“Tanpa perubahan menyeluruh, ia akan menjadi alat untuk membalas dendam dengan pihak berkuasa Syria,” katanya.

Rusia bertegas laporan itu tidak boleh dipercayai kerana pakar terlibat tidak pergi ke Khan Sheikhun dan menyiasat daripada sampel yang didakwa Moscow sudah diusik perisik Barat.

Menyampaikan hasil penemuan itu, ketua panel, Edmond Mulet, berkata para pakar menyatakan sarin dijatuhkan semasa serangan udara dan pesawat Syria berada di kawasan itu ketika ia berlaku.

Analisis sarin yang digunakan di Khan Sheikhun dipadankan dengan gas saraf yang terdapat di stok simpanan Syria, kata Mulet, sambil menambah komposisinya “sangat sukar untuk ditiru.” – AFP, 8 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen