Dr Mahathir ulang kekal PM sampai Apec


Zaim Ibrahim

Dr Mahathir Mohamad mengakui perjumpaan dengan Anwar Ibrahim semalam adalah mengenai isu peralihan kuasa perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Februari, 2020.

DR Mahathir Mohamad sekali lagi mengulangi pendirian akan letak jawatan sebagai perdana menteri selepas Sidang Kemuncak Anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) pada November ini.

Perdana menteri berkata, perjumpaan beliau dengan Anwar Ibrahim semalam adalah mengenai isu peralihan kuasa, seperti kenyataan yang dikeluarkan oleh presiden PKR itu semalam.

“Dia (Anwar Ibrahim) jumpa dengan saya dan apa dia buat kenyataan itu betullah.

“Saya tidak terlibat dengan sebarang kegiatan lain. 

“Saya janji saya akan letak jawatan selepas Apec dan pegang pada janji saya,” kata beliau dalam satu sidang media di Langkawi, hari ini.

Dalam sidang media itu, Dr Mahathir beberapa kali berkata beliau berpegang kepada janjinya untuk meletak jawatan.

Semalam, Anwar berkata beliau bertemu dengan Dr Mahathir dan mereka membincangkan isu peralihan kuasa perdana menteri.

Menurut Anwar, beliau cenderung mahu Dr Mahathir terus jadi perdana menteri sehingga selepas Apec namun perkara itu akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 21 Februari ini. 

Dr Mahathir turut menyalahkan pihak media yang sering memainkan isu peralihan kuasa.

“Ini medialah, seronok sangat. Kalau ada kontroversi baru ada cerita.

“Bagi media, saya dengan Anwar bertumbuk atau apa-apa lagi seronok cerita.

“Pemimpin PH buat kenyataan (isu peralihan kuasa) sebab ditanya (oleh media). Kalau tidak tanya, tiada kenyataan,” kata Dr Mahathir.

Sabtu lalu, PAS melancarkan usul menyokong perdana menteri dalam sidang akan datang bagi memastikan Dr Mahathir masih mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Ia muncul sewaktu timbul desas-desus PAS dan Umno akan menyokong Dr Mahathir untuk terus kekal sebagai perdana menteri bagi mengelak jawatan itu diserahkan kepada Anwar. – 14 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen