Malaysia hulur bantuan kepada China lawan Covid-19


Khoo Gek San

Seorang doktor memeriksa keadaan pesakit di Hospital Jinyintan, yang pada masa ini dikhaskan untuk pesakit COVID-19 yang kritikal di Wuhan, China. Malaysia turut menghantar bantuan ke China dalam menangani wabak itu. – Gambar EPA, 14 Februari, 2020.

SYARIKAT Malaysia menghulurkan bantuan perubatan ke China termasuk sarung tangan getah pakai buang untuk menangani wabak koronavirus baharu Covid-19 yang setakat ini menjangkiti lebih 60,000 orang.

Selain sektor swasta, Putrajaya menyumbang 18 juta sarung tangan getah, manakala sebanyak RM1 juta disumbangkan oleh kerajaan negeri Sabah kepada Wuhan. 

Wuhan adalah bandar di wilayah Hubei, di mana tercetusnya Covid-19.

Sumbangan RM1 juta itu akan digunakan untuk merawat mangsa virus berkenaan dan sebagai tanda penghargaan atas sokongan rakyat China terhadap industri pelancongan Sabah.

Jurucakap Kedutaan Besar China, Tang Tang berkata ada juga sebahagaian daripada penderma menghasilkan video dan lagu untuk menghiburkan mereka yang terlibat dalam usaha melawan Covid-19.

“Dengan menghulurkan bantuan pada masa kritikal ini, Malaysia telah menunjukkan bahawa negara ini sahabat sejati China. Kami menghargai dan akan mengingati keihklasan Malaysia,” katanya.

Tambah Tang, pekerja perubatan kini menerima tekanan hebat dalam merawat pesakit apabila kekurangan peralatan perubatan seperti topeng N95.

Katanya, ini disebabkan oleh permintaan yang mendadak sehingga kilang terpaksa memperlahankan pengeluaran akibat tidak cukup pekerja dan bahan mentah.

Tang memberitahu The Malaysian Insight, sejumlah besar daripada 18 juta sarung tangan getah yang disumbangkan oleh kerajaan Malaysia dihantar ke Wuhan.

Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal dilaporkan berkata pelancong dari China merancakkan industri pelancongan negeri itu, dan inilah masanya bantuan dihulurkan sebagai tanda penghargaan.

RM1 juta yang disumbangkan Sabah dilaporkan adalah sebahagian daripada usaha Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS).

Presiden FCAS Goh Tian Chuan berkata kerajaan negeri menyekat penerbangan dari China dan melarang rakyat negara itu masuk ke Sabah sejak wabak itu merebak. Tindakan ini terpaksa diambil walaupun sektor pelancongan Sabah bergantung kepada pelancong dari China.

“Oleh itu, penduduk Sabah dan Sarawak perlu menghulurkan bantuan pada masa kritikal ini,” katanya.

Wabak Covid-19 yang bermula di Wuhan, China setakat ini telah meragut lebih 1,357 nyawa dan lebih 60,000 kes yang disahkan. Malaysia mencatatkan 19 kes positif Covid-19, yang melibatkan 13 pelancong China dan enam warga tempatan. – 14 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen