Ahli politik UK ditemui mati


Ahli politik UK, Carl Sargeant yang ditemui mati hari ini baru beberapa hari meletakkan jawatan susulan tuduhan salah laku terhadapnya ketika skandal gangguan seksual semakin meluas di Parlimen. – Gambar EPA, 7 November, 2017.

SEORANG ahli politik UK, Carl Sargeant ditemui mati hari ini, hanya beberapa hari selepas meletakkan jawatan susulan tuduhan salah laku terhadapnya ketika skandal gangguan seksual semakin meluas di Parlimen, kata polis.

Mayat Sargeant ditemui pagi tadi di sebuah rumah di Connah’s Quay di utara Wales, kata polis tempatan.

Polis berkata kematiannya tidak dianggap mencurigakan, sementara agensi berita Press Association berkata difahamkan Sargeant membunuh diri.

Bekas menteri itu meletak jawatan pada 3 November dan digantung keahlian dalam parti Buruh selepas dimaklumkan mengenai tuduhan terhadapnya itu.

Sargeant menjadi salah daripada sejumlah ahli politik British yang berdepan tuduhan salah laku dalam tempoh beberapa minggu ini, menyebabkan pemimpin parti memperkenalkan langkah perlindungan baharu untuk kakitangan Parlimen, semalam.

Keluarganya berkata Sargeant seorang suami, bapa, anak dan rakan yang penyayang. – AFP, 7 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen