SEKURANG-KURANGNYA dua terbunuh dan tiga lagi cedera dalam kejadian letupan dan tembakan di stesen televisyen tempatan di Kabul pada Selasa, lapor agensi berita China Xinhua.
Menurut sumber keselamatan, serangan pada pagi Selasa itu, berlaku di kawasan kejiranan Chaman-e-Huzuri dan dipercayai dilakukan sekurang-kurangnya empat lelaki bersenjata.
“Seorang penyerang meletupkan jaket yang dilekatkan dengan bahan letupan di pintu masuk pertama untuk membuka jalan kepada kumpulan bersenjata kedua memasuki bangunan berkenaan.
“Pasukan Tindak Balas Krisis tiba di lokasi kejadian sejurus selepas serangan dan melancarkan serangan balas,” kata sumber itu.
Penyerang menyamar dengan memakai pakaian seragam polis.
Berdasarkan maklumat awal seorang penyerang dan pengawal keselamatan terbunuh manakala tiga lagi cedera, tetapi jumlah mangsa mungkin meningkat memandangkan pertempuran masih berterusan.
Setakat ini, maklumat rasmi mengenai kejadian masih belum dikeluarkan dan sebagai langkah berjaga-jaga, kawasan tersebut telah dikepung oleh pasukan keselamatan.
Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu. – Bernama, 7 November, 2017.
Komen