Mahdzir nafi lantik peguam runding dengan Pejabat Peguam Negara


Ravin Palanisamy

Peguam bela bertanya kepada Mahdzir Khalid jika beliau mengupah Vignesh Kumar Chellapa dari firma Vignesh Kumar and Associates untuk berunding dengan Pejabat Peguam Negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Februari, 2020.

BEKAS menteri pendidikan Mahdzir Khalid menafikan beliau mengupah peguam untuk berunding dengan Pejabat Peguam Negara bagi mengelak didakwa dalam kes projek solar hibrid.

Ketika sesi soal balas, peguam bela Jagjit Singh merujuk kepada keterangan saksi bertarikh 11 Februari dan bertanya kepada Mahdzir jika beliau mengupah Vignesh Kumar Chellapa dari firma Vignesh Kumar and Associates untuk berunding dengan Pejabat Peguam Negara.

Ini dinafikan Mahdzir, tetapi beliau mengaku melantik peguam peguam berkenaan apabila dipanggil untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan projek solar hibrid melibatkan isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor.

Jagjit: Ingat lagi pada Selasa, kamu menafikan mengupah Vignesh Kumar Chellapa dari Vignesh Kumar and Associates untuk berunding dengan Pejabat Peguam Negara.

Mahdzir: Saya nafikan, tetapi saya tak kata saya tak pernah upah dia.

Jagjit kemudian berkata Mahdzir pada Selasa memberitahu mahkamah beliau tidak mengupah Vignesh Kumar. Jagjit seterusnya meminta peguam bela Akberdin Abdul Kader mengulangi soalan dalam Bahasa Melayu. 

Ini dibantah Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, yang berkata pembelaan cuba mengelirukan saksi.

Akram berkata pada Selasa lalu pembelaan hanya bertanya kepada saksi sama ada mengupah peguam untuk membuat rundingan. Katanya lagi, saksi tidak ditanya jika pernah melantik peguam bagi tujuan lain.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan bersetuju dengan Akram dengan berkata mengikut catatannya, pembelaan bertanya kepada Mahdzir sama ada saksi itu melantik peguam Vignesh Kumar khusus untuk berunding.

Akberdin kemudian berkata ia sebahagian daripada soalan.

Zaini: Seingat saya, pembelaan bertanya kepada saksi (sama ada) mengupah Vignesh untuk “berunding” dengan SPRM. Saksi tidak ditanya jika dia pernah melantik peguam.

Akberdin: Melantik peguam itu sebahagian daripada soalan. Perlu ada peguam kalau mahu berunding. 

Hakim Zaini kemudian memberitahu Akberdin lebih elok jika peguam itu yang menyoal balas saksi.

Akberdin bertanya kepada Mahdzir tujuan beliau melantik peguam. Mahdzir menjawab ia ada kaitan dengan SPRM. Akberdin kemudian menuduh saksi itu mengelak menjawab soalannya. – 13 Februari, 2020.

Berita penuh di sini.        


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen