Presiden Korea Selatan sambut Trump di pangkalan tentera AS


Pasukan pengawal kehormat Korea selatan berbaris dan bersedia menyambut ketibaan Presiden Donald Trump di Osan, Korea Selatan. – Gambar AFP, 7 November, 2017.

PRESIDEN Korea Selatan Moon Jae-in mengadakan lawatan mengejut ke pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Seoul, untuk menyambut ketibaan Presiden Donald Trump secara peribadi pada Selasa, satu langkah yang menonjolkan ikatan kedua-dua negara selama lebih 60 tahun, lapor agensi berita Yonhap.

Lawatan mengejut itu dilakukan selepas Trump memulakan lawatan rasmi dua hari ke Korea Selatan di Kem Humphreys di Pyeongtaek, 70 kilometer di selatan Seoul, setelah tiba di Pangkalan Udara Osan.

“Lawatan Presiden Trump ke Kem Humphreys adalah atas undangan kami,” kata seorang pegawai dari pejabat presiden di Cheong Wa Dae.

Trump dijadual mendengar satu taklimat keselamatan sebelum menghoskan makan tengah hari untuk anggota perkhidmatan bersenjata Korea Selatan dan AS di pangkalan itu.

Pegawai itu berkata Moon akan mengiringi rakan sejawatnya dari AS itu sepanjang lawatan beliau ke pangkalan tentera berkenaan.

Mereka akan mengadakan sidang kemuncak dua hala yang ketiga selepas itu di Cheong Wa Dae. – Bernama, 7 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen