Zahid di belakang SD sokong Dr Mahathir, dakwa Lokman


SM Amin

Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam mendakwa usaha mendapatkan akuan bersumpah itu dibuat sebaik selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang memecatnya dari jawatankuasa berkenaan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 Februari, 2020.

BEKAS ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam mendakwa ahli Parlimen parti itu sudahpun menyerahkan akuan bersumpah menyokong Dr Mahathir Mohamad.

Dakwanya, usaha mendapatkan akuan bersumpah bagi Dr Mahathir kekal menjadi perdana menteri sehingga akhir penggal diusahakan sendiri oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Lokman mendakwa, usaha mendapatkan akuan bersumpah (SD) itu dibuat sebaik selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada Jumaat lalu yang memecat beliau daripada jawatankuasa berkenaan.

“Sebaik saja mesyaurat yang memecat saya selesai, Zahid telah pergi melobi beberapa individu untuk mendapatkan SD untuk menyokong Dr Mahathir dan SD ini sekarang berada di tangan Dr Mahathir.

“Zahid telah pergi melobi beberapa individu untuk mendapatkan SD untuk menyokong Dr Mahathir dan SD ini sekarang berada di tangan Dr Mahathir,” katanya.

Lokman dipecat daripada Majlis Tertinggi kerana mendakwa Zahid menyatakan dalam satu mesyuarat parti bahawa Umno perlu bekerjasama dengan Dr Mahathir.

Beliau minggu lalu mendakwa, Zahid yang berdepan pelbagai tuduhan di mahkamah hanya bertindak demikian untuk menyelamatkan diri.

Mengulas lanjut dakwaan itu, Lokman pada malam ini mendakwa usaha tersebut akan gagal.

“Ada kemungkinan besar bahawa usaha mereka untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang ini akan gagal,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan NGO baharunya, Laskar Siber Malaysia.

Isu mengenai dakwaan SD untuk menyokong Dr Mahathir itu juga dibangkitkan portal Sarawak Report dalam satu tulisan hari ini.

Portal itu yang memetik sumber mendakwa ia turut melibatkan ahli Parlimen PAS, Bersatu dan juga pengikut timbalan presiden PKR Azmin Ali.

Ahli Parlimen berkenaan didakwa dipaksa hadir ke Kuala Lumpur dalam tempoh beberapa hari lalu untuk menandatangani SD sokongan tersebut.

Ia mendakwa, sokongan itu supaya Dr Mahathir kekal perdana meneri sehingga pilihan raya umum akan datang.

PAS Sabtu lalu menyatakan parti itu akan membawa usul undi percaya dalam Dewan Rakyat bagi menyokong agar Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga habis penggal.

PAS kemudiannya membawa cadangan tersebut ke dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk Perunding Muafakat Nasional pada Isnin lalu untuk dimaklumkan kepada rakan sekutunya Umno.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan pula berkata parti itu mengambil maklum perkara itu untuk dibincangkan di peringkat parti.

Bagaimana Mohamad menegaskan pendirian Umno berhubung perkara tersebut hanya akan dibuat apabila usul tersebut dibentangkan.

Dr Mahathir pula pada minggu ini menyatakan penghargaan sekiranya ada pihak menyokong beliau menjadi perdana menteri namun katanya beliau sudahpun menjadi perdana menteri.

Dr Mahathir juga beberapa kali mengulangi janjinya untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim. – 12 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen