Lokman terima surat pemecatan dari Umno


SM Amin

Lokman Noor Adam bercakap kepada pemberita selepas melancarkan NGO baharunya, Laskar Siber Malaysia di Wangsa Maju malam ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 Februari, 2020.

ORANG kuat bekas perdana menteri Najib Razak, Lokman Noor Adam mengesahkan menerima surat pemecatannya sebagai anggota Umno.

Lokman memberitahu pemberita, surat daripada ibu pejabat Umno bertarikh 10 Februari yang diterima stafnya hari ini berdasarkan keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada Jumaat lalu.

Ketika ditanya sama akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut, Lokman berkata beliau akan merujuk kepada peguam terlebih dahulu.

“Saya dituduh tidak berkata benar. Sekiranya perkara ini terjadi, kerjasama itu berlaku, bukankah mereka yang tidak berkata benar. Jadi saya akan rujuk kepada peguam dahulu,” katanya.

Tindakan itu dikenakan ke atasnya kerana menuduh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi cuba menjalankan kerjasama politik dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Lokman mempertahankan dakwaan berkenaan yang disifatkanya sebagai pengkhianatan kepada parti.

Tegas Lokman, tindakan beliau itu adalah untuk memberitahu kepada ahli Umno bahawa Zahid cuba memaksa mereka menyokong Dr Mahathir.

“Saya nak tegaskan saya tidak mengkhianati parti. Yang saya dedahkan kepada umum adalah perlakuan presiden parti yang cuba memaksa 3.7 juta ahli Umno untuk tunduk kepada Dr Mahathir,” dakwanya.

Dakwanya, Zahid cuba melakukan demikian dengan membentuk gabungan baharu Umno, PAS serta Bersatu dinamakan Pakatan Nasional dengan Dr Mahathir sebagai pengerusinya.

Susulan itu, mesyuarat MT Umno pada Jumaat lalu memecat keahliannya sebagai anggota jawatankuasa berkenaan.

Lokman bercakap kepada pemberita selepas melancarkan NGO baharunya dinamakan Laskar Siber Malaysia yang akan menyokong Umno dan BN.

“Kita bukan saja akan memantau Pakatan Harapan tetapi juga akan buat teguran kepada mana-mana parti politik jika tidak ikut jalan yang benar.

“Kita bukan akan jadi NGO yang macam Perkasa bertukar menjadi parti politik. Kita akan jadi NGO mesra Barisan Nasional. Maknanya kita akan sokong Umno dan BN,” ujarnya. – 12 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen