'Cybertrooper' gugat keharmonian negara


TAHUN 2015 mencatatkan lebih daripada 2,000 orang askar dalam talian dilatih oleh Barisan Nasional (BN).

Pauline Leong dalam kajian sarjananya bertajuk “Political Communication in Malaysia: A Study on the Use of New Media” mencatatkan jumlah ini berdasarkan temu bualnya dengan konsultan media parti tersebut. 

Itu jumlah pada 2015, agak-agaknya berapa jumlah “cybertroopers” parti tersebut hari ini?

Pada Oktober lalu dalam sebuah forum bertajuk “Kasi Viral: The Spread of Racial Disinformation in Malaysia,” seorang bekas cybertrooper BN, Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih dikenali dalam talian sebagai Ratu Naga membongkarkan kelicikan cybertroopers upahan BN. 

Kata Syarul, beliau pernah menghasilkan sebuah video yang membangkitkan isu perkauman hingga mencetuskan kemarahan orang Melayu terhadap DAP!

Bukankah sudah jelas tujuan parti pembangkang sejak zaman mereka memegang kerajaan, acap kali meletakkan DAP sebagai target untuk dicaci, dibenci dan dikeji oleh masyarakat? 

Kerja mudah apabila isu perkauman dibangkitkan, maka berpusu-pusulah cybertroopers menghangatkan lagi isu tersebut menyebabkan masyarakat umum yang membacanya terpedaya dengan tohmahan dan tuduhan tak berasas.

Mereka pernah senyap seketika setelah keputusan pilihan raya tidak menyebelahi BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Namun, kini cybertroopers atau macai Umno ini semakin aktif meninggalkan kata-kata kesat, kotor dan jijik di media-media sosial selain daripada milik pembangkang.

Kebanyakan mereka ini menjadi “keyboard warriors” berselindung di sebalik akaun palsu.

Cybertroopers BN memainkan peranan besar dalam membentuk cara fikir kebanyakan masyarakat digital hari ini.

Perkara ini pastinya membimbangkan kerana semua perkara boleh diambil dan ditelan bulat-bulat tanpa saringan walaupun kebenaran atau kepalsuan hal yang tersebar itu tidak jelas.

Isu perkauman memecahbelahkan kesatuan kaum

Berkali-kali DAP menegaskan pegangan dan ketaatan kepada Perlembagaan Persekutuan, namun pihak pembangkang kerap memutar belit kenyataan dengan meletakkan DAP sebagai pihak yang “MESTI” menanggung semua tuduhan dan salah fakta yang dilemparkan.

Akibat daripada longgokan cybertroopers BN yang setia membuta tuli hingga sanggup mengeluarkan banyak kenyataan fitnah ini adalah ketegangan kaum yang membimbangkan.

Masyarakat perlu tahu wujudnya kelompok ini dalam masyarakat untuk menggugat keharmonian negara yang dibina sejak berabad-abad lamanya.

Gerakan AJ: DAP ni mcm syiah, talam dua muka, ramai2 tolak DAP

Mat Alwi:  Dalam DAP jika ada Melayu dan mereka kata parti perpaduan sebenarnya sama dalam PKM dulu… tak hairan Melayu yang sokong DAP ni sama dengan Melayu dalam PKM.

Mahadzir Pulut: Dulu Umno matikan tulisan Jawi dalam persekolahan dan pentadbiran… kini tibalah masanya DAP karamkan tulisan Jawi… 

Bermacam-macam andaian buruk dibuat tentang DAP, sebuah parti yang mendukung keadilan sosial, progresif dan kepelbagaian kaum di Malaysia. 

Bertahun-tahun DAP dijadikan target untuk cybertroopers dan penyokong tegar BN menghambur segala bentuk fitnah dan cerita palsu. Ini membimbangkan kerana fitnah ini perlu dihentikan agar masyarakat kita dapat terus hidup dengan aman dan harmoni.

Aman dalam dunia digital 

Kewujudan cybertroopers dan penyokong tegar BN yang tak ada rasa takut menghentam DAP dan kerajaan hari ini di alam maya amat membimbangkan. Setidak-tidaknya DAP acap kali mengetengahkan kepentingan menjaga hubungan dan sensitiviti pelbagai kaum. 

Namun, lambakan “askar” pembangkang ini seakan memasang tembok penghalang agar mesej kesatuan daripada pemimpin sampai kepada rakyat. Malah, api kebencian terhadap DAP, kerajaan dan antara kaum semakin menyala. 

Masyarakat rukun dan aman membentuk negara yang lebih baik. Cybertroopers dan penyokong tegar BN tetap akan meneruskan kerja-kerja jahat mereka memporak-perandakan negara yang dipimpin oleh kerajaan hari ini. 

Kita perlu lebih bijak menggunakan laman sosial agar keamanan negara tetap terjaga dan pintar menyaring segala kebaikan dan keburukan dunia digital hari ini. 

Pastikan sumber maklumat yang anda perolehi itu datangnya daripada sumber yang boleh dipercayai dan “kerajaan sepenggal” seperti kata cybertroopers pembangkang itu tidak akan menjadi nyata! – 12 Februari, 2020.

* Sheera Ghafar, penulis untuk DAP.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen