SIASATAN lain masih diteruskan ke atas bekas ketua pegawai eksekutif Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) CM Vignaesvaran, kata agensi antirasuah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata hanya satu daripada beberapa kertas siasatan yang dibuka terhadap Vignaesvaran tidak diteruskan.
“Kami hanya membersihkannya daripada satu pertuduhan.
“Beberapa kertas siasatan dibuka terhadapnya dan saya perlu semak semula dengan timbalan pendakwa raya apa sebenarnya pertuduhan yang tidak diteruskan pertuduhan itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau mengulas kenyataan Vignaesvaran yang dilaporkan gembira kerana SPRM membersihkannya daripada sebarang tuduhan salah laku.
“Saya gembira kerana selepas hampir dua tahun melalui penderitaan ini, ia sudah berakhir,” kata Vignaesvaran seperti dipetik dalam satu laporan Malaysiakini.
Vignaesvaran turut berterima kasih kepada pihak berkuasa yang dianggapnya bertindak profesional dan adil dalam menjalankan siasatan itu.
Difahamkan SPRM memaklumkan bahawa kes terhadapnya diklasifikasikan sebagai “tiada tindakan lanjut” dalam satu surat bertarikh 5 Februari.
HRDF mendapat perhatian sejak 2018 bagi kes penyalahgunaan dana berjumlah RM300 juta.
Pada Jun tahun itu, HRDF yang merupakan agensi bawah Kementerian Sumber Manusia mengumumkan Vignaesvaran mengemukakan peletakan jawatannya.
Pada November 2018, Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran mendedahkan wang HRDF berjumlah berjuta-juta ringgit digunakan untuk membeli hartanah dan membayar gaji serta bonus beberapa pihak tertentu.
Dalam beberapa kes, katanya, perkara itu dilakukan tanpa pengetahuan lembaga pengarah HRDF.
Beliau juga mengumumkan, beberapa penyedia latihan dan kakitangan pengurusan HRDF tertentu didapati menyalahgunakan dana atas nama latihan.
Beberapa siri serbuan juga dijalankan SPRM di ibu pejabat HRDF di Bukit Damansara. – 12 Februari, 2020.
Komen