39 lagi penumpang kapal Diamond Princess positif koronavirus


Kakitangan kesihatan berpakaian lengkap menutup badan ketika bertugas menguji penumpang di kapal persiaran Diamond Princess yang kini dikuarantin di pantai Jepun. – Gambar EPA, 12 Februari, 2020.

SERAMAI 39 lagi penumpang kapal persiaran Diamond Princess di pantai Jepun disahkan positif dijangkiti koronavirus, kata Menteri Kesihatan Jepun Katsunobu Kato, menjadikan jumlah keseluruhan 174 kes.

“Daripada 53 keputusan ujian baharu, 39 didapati positif,” katanya, menambah pegawai kuarantin juga terjangkit dengan virus itu.

“Pada masa ini, kami sahkan empat orang termasuk mereka yang dimasukkan ke hospital, dalam keadaan serius, sama ada memakai alat bantuan pernafasan atau dirawat di unit rawatan rapi.”

Diamond Princess dikuarantin sejak tiba di pantai Jepun awal minggu ini selepas virus itu dikesan terkena seorang bekas penumpang yang turun di Hong Kong.

Apabila kapal itu tiba di Jepun, pihak berkuasa pada awalnya menguji hampir 300 daripada 3,711 penumpang dan anak kapal.

Mereka yang masih berada di dalam kapal itu diarahkan duduk di dalam kabin masing-masing dan hanya dibenarkan keluar sebentar ke dek terbuka.

Mereka diminta memakai topeng muka dan berjauhan antara satu sama lain ketika berada di luar kabin, dan diberikan termometer untuk mengukur suhu badan.

Kapal persiaran itu dijangka akan terus dikenakan kuarantin hingga 19 Februari. – AFP, 12 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen