Sarapan percuma di sekolah tidak patut asingkan murid miskin dan kaya


Sheridan Mahavera

Pakar ekonomi berkata program sarapan percuma di sekolah tidak seharusnya membezakan antara kanak-kanak miskin dan kaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Februari, 2020.

PROGRAM sarapan percuma di sekolah tidak seharusnya membezakan antara kanak-kanak miskin dan kaya kerana ia akan mewujudkan stigma tidak adil terhadap murid daripada keluarga yang memerlukan, kata pakar ekonomi.

Zouhair Mohd Rosli yang juga pengarang bersama kajian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berkenaan pembantutan dan kurang zat kanak-kanak di Malaysia, berkata sarapan sepatutnya diberikan kepada semua kanak-kanak di sekolah yang terpilih.

Katanya, program itu efektif dalam menangani masalah kurang zat dalam kalangan miskin di Malaysia yang merungut tidak mampu membeli makanan sihat.

“Ia satu dasar yang boleh membantu masalah kekurangan zat. Tetapi jika kita sasarkan hanya kanak-kanak miskin, ia akan mengecap mereka kerana jika anda pergi dan dapat makanan percuma, itu maknanya anda miskin dan ini tidak elok untuk kanak-kanak terbabit,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Secara kosnya, ia boleh jadi agak tinggi tetapi kerajaan boleh menanganinya dengan memotong perbelanjaan tidak perlu dan menyalurkan dana ke situ,” katanya.

Kementerian Pendidikan Malaysia memulakan fasa pertama program sarapan percuma (PSP) di 100 sekolah kebangsaan di seluruh negara pada 20 Januari.

Fasa pertama itu dianggarkan memberi manfaat kepada 37,000 murid, dengan kos RM22 juta.

Kementerian berkata sekolah dipilih berdasarkan kepada peratusan tertinggi murid daripada kumpulan B40 dan ia termasuk di sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT).

Kementerian menyasarkan untuk memperluaskan program itu ke semua 7,776 sekolah rendah bagi memberi manfaat kepada kira-kira 2.7 juta murid di seluruh negara.

Bagaimanapun, skim itu dikritik oleh sesetengah pihak yang mempersoalkan kenapa ia perlu diberikan kepada kanak-kanak kelas pertengahan, bukannya hanya dari keluarga miskin.

Zouhair tidak bersetuju dengan pandangan itu, berkata kerajaan berhak memilih sekolah berdasarkan kepada populasi pelajar miskin, tetapi menekankan setiap murid di sekolah itu patut menerima makanan percuma.

Mengasingkan murid berdasarkan paras pendapatan ibu bapa mereka adalah tindakan tidak bijak kerana ia mewujudkan kesan stigma terhadap rasa keyakinan diri dan perkembangan awal kanak-kanak.

“Ia tidak boleh menyasarkan pendapatan ibu bapa kerana ia akan mewujudkan stigma terhadap kanak-kanak lebih miskin. Tidak adil untuk mereka kerana mereka tidak memilih untuk lahir dalam keluarga yang miskin,” katanya.

Kajian Analisis Unicef Malaysia-DM Analytics menunjukkan 20.7% atau dua daripada setiap 10 kanak-kanak di Malaysia mengalami kebantutan, kadar yang lebih tinggi berbanding Ghana, negara Afrika yang ekonominya enam kali lebih kecil.

Kadar kebantutan di Kelantan ialah 34%, lebih teruk berbanding di Zimbabwe (27.6%) dan Swaziland (25.5%). – 12 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen