DEWAN Undangan Negeri (DUN) Sarawak mahu Dr Ting Tiong Choon membayar semula semua wang yang diterima sebagai Ahli Dewan Undangan (Adun) Pujut, kata Mohd Asfia Awang.
Speaker DUN Sarawak itu berkata Dr Ting perlu memulangkan semula bayaran tersebut selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Dr Ting pemilihannya sebagai Adun Pujut tidak sah.
Asiah berkata beliau akan mengarahkan setiausaha DUN Sarawak menghantar surat kepada Dr Ting untuk membuat pembayaran semula sebaik sahaja beliau menerima salinan keputusan Mahkamah Persekutuan.
“Ting tidak pernah menjadi wakil rakyat Pujut. Oleh sebab itu, beliau tidak patut menerima gaji dan memulang semula duit tersebut,” katanya pada sidang media hari ini.
Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan rayuan dibuat DUN Sarawak untuk melucutkan kelayakan Dr Ting sebagai Adun Pujut.
Beliau dilucutkan kelayakan sebagai Adun pada 12 Mei 2017, susulan usul dibentangkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Sarawak Wong Soon Koh, yang mendakwa Ting mempunyai dua kewarganegaraan- Malaysia dan Australia.
Pemimpin DAP itu kini berdepan kemungkinan untuk membayar semula gaji dan elaun yang diterimanya berjumlah lebih RM960,000.
Purata gaji dan elaun yang diterima wakil rakyat Sarawak kira-kira RM20,000 sebulan.
Asfia menjelaskan tindakan yang diambil kerajaan pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk melucutkan kelayakan Ting tiada kaitan dengan politik.
“Ini adalah soal patriotik. Jika seorang rakyat Malaysia tidak setia dan secara sukarela mendapatkan kerakyatan negara lain, mengangkat sumpah dan taat setia kepada negara lain, mengundi di negara lain, menjadi sebahagian negara lain, maka dia tidak boleh serta tidak dibenarkan menjadi wakil rakyat di Malaysia,” katanya.
Asfia berkata keputusan Mahkamah Persekutuan bukan sahaja satu sejarah tetapi merupakan kemenangan besar DUN Sarawak kerana hari ini Mahkamah Persekutuan, mahkamah tertinggi di negara ini menegakkan doktrin pemisahan kuasa.
“Ia adalah kemenangan yang luar biasa kerana Mahkamah Persekutuan menegaskan Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan.”
Ting memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuching pada 7 Jun 2017 untuk mencabar keputusan DUN.
Pada 17 Jun 2017, mahkamah tinggi memutuskan keputusan DUN melucutkan kelayakan Ting sebagai tidak sah.
Pada 13 Julai 2018, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan mahkamah tinggi, berpandangan yang DUN melampaui bidang kuasanya apabila melucutkan kelayakan Ting menggunakan alasan dwi kerakyatan, kerana Ting sudah membatalkan kewarganegara Australia sebelum bertanding pilihan raya. – 11 Februari, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen