Polis nafi ada pergaduhan libatkan kematian semasa Thaipusam di Sungai Petani 


POLIS Daerah Kuala Muda menafikan dakwaan berlaku pergaduhan melibatkan satu kematian semasa sambutan Thaipusam di daerah itu Sabtu lepas, seperti yang tular di media sosial semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supt Shamsudin Mamat berkata pihaknya mengesan hantaran artikel di laman Twitter milik ‘Tehpanas’ berbunyi “Sembahyang Thaipusam di Sungai Petani gaduh, budak kena pukul mati on the spot” pada 11 pagi hari ini.

“Selepas semakan dibuat didapati tiada kes pergaduhan melibatkan kematian semasa upacara sembahyang Thaipusam pada tahun ini, sebaliknya hanya ada satu kes pergaduhan (biasa) dilaporkan dan mangsa terlibat hanya cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Beliau berkata siasatan terhadap dakwaan Tehpanas itu dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

“Untuk makluman orang ramai, perayaan Thaipusam di Sungai Petani berjalan dengan lancar,” katanya.

Beliau berkata bagi kes pergaduhan yang dilaporkan, tangkapan telah dibuat terhadap tiga lelaki tempatan berumur 23 hingga 27 tahun dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 dan 148 Kanun Keseksaan dan semua suspek direman sehingga 13 Februari ini.

“Pihak polis menegaskan kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan cerita tidak benar termasuk di laman sosial,” katanya. – Bernama, 11 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen