Mahdzir jadi saksi pendakwaan untuk selamatkan diri, kata peguam Rosmah


Ravin Palanisamy

Mahdzir Khalid menafikan bahawa beliau mengetahui akan didakwa SPRM berhubung skandal projek solar hibrid di Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Februari, 2020.

BEKAS menteri pendidikan Mahdzir Khalid berpihak kepada pendakwa raya bagi menentang Rosmah Mansor untuk melindungi dirinya daripada didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata peguam bela.

Jagjit Singh memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Mahdzir berdepan dua dakwaan berhubung projek solar hibrid untuk 369 sekolah pendalaman di Sarawak, tetapi membuat perjanjian dengan SPRM.

Jagjit menyoal Mahdzir sama ada beliau dimaklumkan SPRM bahawa dirinya akan didakwa pada 30 November 2018 berhubung projek itu yang dilaksanakan di bawah kementerian pendidikan.

Mahdzir menafikan bahawa beliau mengetahui perkara itu tetapi Jagjit mencadangkan sebaliknya.

Jagjit memberitahu mahkamah bahawa selepas Mahdzir mengetahui beliau akan didakwa, bekas menteri itu mengupah peguam yang hanya disebut sebagai ‘Datuk Vignes’ untuk membuat perjanjian dengan SPRM.

Jagjit juga memberitahu Vignes menggunakan hubungan rapatnya dengan ketua pendakwaraya Gopal Sri Ram untuk berunding bagi mencapai perjanjian dengan pihak pendakwaan.

Rosmah Mansor berdepan tiga pertuduhan rasuah termasuk melibatkan projek solar hibrid di Sarawak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Februari, 2020.

Timbalan pendakwa raya awam Ahmad Akram Gharib membantah dakwaan Jagjit dengan memberitahu Hakim Mohamed Zaini Mazlan supaya pihak pembelaan memanggil saksi bagi menyokong dakwaan tersebut.

Bagaimanapun peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kader berkata pihak pembelaan boleh menyoal sebarang soalan kepada saksi semasa sesi soal balas.

Hakim Zaini membenarkan pihak pembelaan meneruskan sesi soal balas tetapi mengingatkan mereka agar lebih berhati-hati dan berlaku adil kepada saksi.

Jagjit kemudiannya memberitahu mahkamah bahawa Vignest mencapai perjanjian dengan Pejabat Peguam Negara untuk tidak mendakwa Mahdzir.

Sebagai balasan, Mahdzir akan memberi keterangan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya, Rosmah.

Jagjit: Saya mencadangkan anda bahawa Datuk Vignesh mencapai perjanjian dengan Pejabat Peguam Negara supaya tidak mendakwa Mahdzir supaya beliau boleh menjadi saksi utama kes Najib dan Rosmah. Pada 28 November 2018, anda bertemu Ashraf (nama penuh tidak diberikan), timbalan pendakwa raya dari SPRM di luar pejabat. Anda meminta Datuk Vignesh untuk menulis surat bagi berunding. Setuju atau tidak?

Mahdzir: Tidak setuju. – 11 Februari, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen