Kerajaan dapat komitmen Facebook, telco tangani pornografi kanak-kanak


Kalidevi Mogan Kumarappa

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata komitmen itu dinyatakan dalam pertemuannya bersama wakil semua syarikat itu baru-baru ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Februari, 2020.

PROSEDUR bagi menangani sebaran pornografi kanak-kanak akan dapat diselaras dengan komitmen baharu dinyatakan Facebook dan syarikat telekomunikasi, kata Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan perdana menteri berkata, komitmen itu dinyatakan dalam pertemuannya bersama wakil semua syarikat itu baru-baru ini dan juga wakil Facebook di Malaysia dan rantau ini dua minggu lalu.

“Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada semua syarikat telekomunikasi akan diselaraskan lagi.

“Ini untuk mempercepatkan dan memperkasakan penguatkuasaan undang-undang, terutamanya bagi kesalahan seksual terhadap kanak-kanak,” katanya dalam ucapan.

Jelasnya, selain persetujuan meningkatkan kerjasama dengan agensi penguatkuasa, Facebook juga setuju untuk bertindak ke atas kandungan jenayah itu dengan melapor dan menurunkannya.

...(Ia) bagi memudahkan pelaksanaan undang-undang ke atas kes pornografi kanak-kanak dan pengantunan kanak-kanak),” kata menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu.

Firma Facebook merupakan pemilik rangkaian media sosial Facebook, WhatsApp dan Instagram yang banyak digunakan di Malaysia.

Selain itu, beliau mengumumkan usaha agensi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara membangunkan Modul Pendidikan Keselamatan Keluarga dan Anak (Peka).

Jelasnya, modul Peka menyokong Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016 untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa dan penjaga dalam menangani isu pengabaian, kecuaian dan penderaan kanak-kanak.

Tanggungjawab itu termasuk ke atas keselamatan di alam siber, kata Dr Wan Azizah dalam ucapannya.

Beliau melancarkan perasmian Hari Keselamatan Internet atau ‘Safer Internet Day’ (SID) 2020 – Edisi Malaysia dan forum Memupuk Fasih Digital Di Era Millenia, di Putrajaya hari ini. – 11 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen