SPRM masih siasat rakaman audio perbualan Najib, kata Latheefa


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata, pihaknya berkharap siasatan akan selesai dalam tempih dua minggu lagi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Februari, 2020.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyelesaikan dalam masa terdekat siasatan berhubung sembilan rakaman audio yang didedahkannya baru-baru ini, yang turut melibatkan perbualan antara Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor, kata Latheefa Koya.

Ketua pesuruhjaya SPRM berkata pihaknya masih menyiasat rakaman audio itu mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 iaitu salah guna kuasa oleh bekas perdana menteri.

“Siasatan masih diteruskan oleh dua pihak iaitu satu oleh polis dan satu lagi oleh SPRM yang mana kami telah membuka kertas di bawah Seksyen 23 atas penyalahgunaan kuasa dan berharap diselesaikan dalam tempoh seminggu dua lagi.

“Kami juga akan menyemak dengan polis peringkat mana perkembangan siasatan kes tersebut dan saya rasa kami akan tunggu juga saksi utama untuk tampil memberi keterangan.

“Buat masa ini sukar untuk kami mengesahkan kehadiran saksi-saksi dan siasatan masih berjalan,” katanya kepada wartawan di Putrajaya, hari ini.

Semalam Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Risikan dan Operasi) Mohd Roze Shaari berkata pihaknya sudah mengambil keterangan 12 saksi bagi membantu siasatan pendedahan sembilan rakaman audio oleh SPRM yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi.

Mereka yang dirakamkan percakapan termasuk Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim dan dua bekas pegawai Najib iaitu Shukry Mohd Salleh dan Amhari Efendi Nazaruddin.

Polis bagaimanapun belum mengambil keterangan Najib dan Rosmah serta bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad, kata Roze.

Dalam perkembangan sama, Latheefa berkata, SPRM sudah mengenal pasti jumlah saksi utama yang akan dipanggil untuk memberi keterangan namun bertegas untuk tidak mendedahkan identiti mereka kerana menganggap tidak sesuai ketika ini.

Beliau juga enggan mengulas apakah Dzulkifli akan turut dipanggil untuk diambil keterangannya.

“Saya nak tegaskan bahawa tidak boleh komen siapa yang akan dipanggil… tetapi kamu (wartawan) boleh menjangkakan siapa agaknya yang berkemungkinan akan dipanggil nanti.

“Mereka (saksi) perlu.. (beri keterangan) jika siasatan dikendalikan secara teratur terhadap kesemua individu berkenaan.

“Lagipun kami masih belum memiliki butiran mengenai individu-individu yang ada di sebalik rakaman itu, dan saya rasa adalah lebih baik tidak komen mengenai isu itu lebih lanjut kerana tidak mahu membiarkan ia menjejaskan siasatan yang sedang berjalan,” katanya.

Pada 8 Januari lepas, SPRM mendedahkan satu rakaman audio perbualan yang didakwa melibatkan kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib, semasa beliau menjadi perdana menteri, dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.

Menurut Latheefa, SPRM menerima rakaman itu daripada pihak yang identitinya tidak didedahkan dan pihaknya yakin rakaman itu tulen. – 11 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen