SPRM tunggu dokumen siasatan AirAsia dari UK, kata Latheefa


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata, pihaknya sudah membuat permohonan rasmi untuk mendapatkan dokumen berkenaan daripada SFO.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Februari, 2020.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti terlebih dahulu dokumen siasatan agensi anti rasuah United Kingdom sebelum memutuskan untuk memanggil dua Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif Tony Fernandes.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata pihaknya sudah membuat permohonan rasmi untuk mendapatkan dokumen berkenaan daripada Serious Fraud Office (SFO) di London.

“Kami tidak tahu sama ada perlu memanggil mereka atau tidak. Ia akan diputuskan selepas meneliti dokumen daripada sana, ” kata Latheefa kepada wartawan di Putrajaya, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan sama ada SPRM akan memanggil Kamaruddin dan Tony untuk siasatan selepas pendedahan mengenai penglibatan syarikat itu dalam rasuah membabitkan syarikat aeroangkasa Airbus.

Ketika ditanya sama ada wujud tempoh masa tertentu untuk dapatkan dokumen itu, Latheefa menyatakan ia adalah permohonan antarabangsa dan tidak tahu bila SFO akan menunaikan permohonan SPRM.

“Mereka bukan terima satu permohonan, kemungkinan banyak, berdozen atau beratus permohonan. Mereka mungkin ada keutamaan sendiri,” katanya.

Siasatan terhadap dakwaan rasuah melibatkan syarikat pembuat kapal terbang Airbus dan dua eksekutif AirAsia telah dimulakan SPRM pada 1 Februari lalu.

Latheefa sebelum ini berkata mengikut Akta SPRM, agensi itu mempunyai kuasa dan bidang kuasa untuk menyiasat apa-apa tindakan rasuah yang dilakukan mana-mana warga negara atau penduduk tetap Malaysia di mana-mana tempat di luar negara.

Dokumen mahkamah di London baru-baru ini menyebut Airbus membayar RM204 juta dan menawarkan RM225 juta lagi untuk menaja sebuah pasukan sukan yang mempunyai kaitan dengan dua individu berpengaruh di AirAsia dan AirAsiaX.

AirAsia menafikan semua dakwaan. Kamaruddin dan Tony juga menafikan pasukan Formula 1 Caterham mempunyai sebarang kaitan dengan tuduhan rasuah membabitkan Airbus.

Pada 3 Februari lalu, kedua-dua mereka melepaskan jawatan eksekutif dalam AirAsia untuk tempoh dua bulan sementara menunggu siasatan. – 11 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen