SPRM dakwa Jho Low dan 2 pengarah PetroSaudi


Kalidevi Mogan Kumarappa

Jho Low dan dua pengarah PetroSaudi International didakwa terlibat dalam konspirasi jenayah bersama bekas perdana menteri Najib Razak, kata Ketua SPRM Latheefa Koya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Februari, 2020.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam mendakwa Low Taek Jho atau Jho Low dan dua yang lain tanpa mereka hadir di mahkamah (in absentia) kerana terlibat dalam konspirasi jenayah bersama bekas perdana menteri Najib Razak.

Ahli perniagaan dari Pulau Pinang yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu didakwa bersama dua pengarah PetroSaudi International iaitu Patrick Mahony dan Tarik Obaid.

Ketiga-tiga mereka juga didakwa mengubah wang haram berjumlah AS$300 juta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata pihak berkuasa sudah mengeluarkan waran tangkap terhadap ketiga-tiga mereka, yang kini berada di luar negara.

“Kami juga sudah memaklumkan kepada Interpol untuk mengeluarkan notis merah ke atas tiga individu itu,” katanya kepada wartawan di Putrajaya hari ini.

Notis merah ialah permohonan kepada pihak penguatkuasa undang-undang di seluruh dunia untuk mengesan dan menangkap seseorang yang dikehendaki di sesebuah negara.

Menurut Latheefa, pendakwaan tiga individu itu adalah sebahagian daripada proses siasatan mendapatkan semula dana 1MDB dan SRC International.

“Ini sebahagian daripada siasatan dan usaha mendapatkan semula (dana) 1MDB dan SRC International yang sedang berjalan. Ini sebahagian proses di mana kita mendakwa mereka yang mungkin ada akses kepada perincian wang tersebut,” katanya, sambil menambah SPRM akan mengeluarkan maklumat pendakwaan tersebut secara rasmi dalam masa terdekat.

Ini merupakan waran tangkap kedua terhadap Jho Low, yang didakwa sebagai dalang utama skandal 1MDB.

Latheefa berkata, SPRM diberikan kuasa untuk mendakwa mereka, walaupun mereka ialah warga asing yang kini berada di luar negara.

“Apa yang anda selalu dengar ialah jumlah (wang) di negara ini.Tetapi dalam realiti, kita bercakap mengenai (wang) di seluruh dunia,” katanya sambil menambah tiga lelaki itu mempunyai butiran mengenai wang berkenaan.

November lalu, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu perbicaraan rasuah Najib Razak yang Jho Low bersubahat dengan Mahony dan Obaid untuk memperdaya bekas perdana menteri itu.

Jho Low diburu pihak berkuasa Malaysia dan Singapura atas peranannya dalam skandal 1MDB.

Laporan media baru-baru ini mengatakan beliau berada di China, Hong Kong, Macau dan Emiriah Arab Bersatu, tetapi semuanya ditolak polis Malaysia sebagai “palsu”.– 11 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen