Eksport sarang burung ke China jatuh 40% akibat koronavirus


Khoo Gek San

Malaysia mengeksport 3.09 tan sarang burung ke China pada 2014, yang meningkat kepada 51.8 tan pada 2019. – Gambar AFP, 11 Februari, 2020.

EKSPORT sarang burung Malaysia ke China menurun sehingga 40% disebabkan wabak baru koronavirus, kata peniaga.

Menegaskan bahawa makanan istimewa ini mempunyai nilai perubatan untuk menguatkan sistem imun seseorang, mereka berharap permintaan akan meningkat tidak lama lagi, terutamanya semasa Festival Pertengahan Musim Gugur.

Presiden Persatuan Pedagang Sarang Burung Malaysia, Allen Tan berkata pesanan menurun dengan ketara sejak kemunculan wabak koronavirus.

“Tempahan dan permintaan menurun sebanyak 30% hingga 40%. Biasanya, permintaan akan menurun kira-kira 20% selepas perayaan Tahun Baru Cina, tetapi wabak virus Wuhan menjadikannya lebih buruk.

“Permintaan dijangka meningkat menjelang Hari Bapa dan Hari Ibu serta Festival Pertengahan Musim Gugur, dan musim cuti akhir tahun pada November,” kata Tan kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata ini adalah salah satu kelemahan kerana terlalu memberi tumpuan kepada pasaran China, walaupun eksport ke negara itu sendiri jauh lebih besar berbanding gabungan pasaran Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Australia.

“Para pemain industri hanya boleh berharap untuk mengatasi kelembapan semasa, kerana pengguna yang mempunyai tabiat makan sarang burung akan terus membelinya,” kata Tan.

Beliau juga berkata pesanan dalam talian melonjak kerana pengguna Cina mengelak untuk keluar membeli barangan runcit.

“Penghantar barang boleh meletakkan produk di alamat dan pengguna tidak perlu berurusan dengan mereka,” kata Tan.

Menurut Akademi Pemeriksaan dan Kuarantin China, Malaysia mengeksport 3.09 tan sarang burung ke China pada 2014, yang meningkat kepada 51.8 tan pada 2019.

Pada masa ini terdapat 34 syarikat produk sarang burung yang diluluskan untuk penjualan di China.

Pada 2018, China meluluskan sarang burung mentah untuk dari Malaysia untuk diproses di sana.

Pengerusi Pengimport dan Pengeksport Sarang Burung Malaysia, Chua Huai Gen berkata permintaan terhadap produk tersebut biasanya memuncak pada Tahun Baru Cina dan semakin berkurangan selepas cuti musim bunga, yang kini bertambah teruk disebabkan wabah virus Wuhan.

“Kami masih menerima tempahan buat masa ini kerana cuti musim bunga belum habis. Akan ada kesan jangka pendek tetapi masih ada ruang pembangunan di masa depan kerana sarang burung adalah produk kesihatan,” kata Chua.

Bagaimanapun, beliau berkata penggantungan beberapa penerbangan terus ke China menjejaskan logistik perdagangan sarang burung kerana ia perlu dihantar melalui jalan udara.

“Perniagaan perlu mengaturkan penerbangan transit untuk mengeksport sarang burung. Setakat ini, penerbangan langsung ke Guangzhou dan Shanghai masih ada, tetapi penerbangan ke dua atau tiga bandar lain telah digantung dan kami perlu mengatur transit, mengakibatkan lebih banyak kos,” kata Chua.

Beliau berkata walaupun sarang burung tidak dianggap perubatan dalam sains Barat, produk itu dianggap sebagai pemakanan kesihatan dan perubatan Cina tradisional.

Chua berkata kajian di China membuktikan pengambilan sarang burung yang kerap boleh berfungsi lebih baik berbanding ubat kerana keupayaannya menguatkan sistem imuniti seseorang, menyebabkan ketahanan semula jadi kepada penyakit biasa seperti selesema dan keletihan.

Beliau berkata makanan itu juga dikaitkan dengan peningkatan prestasi kerja dan pembelajaran.

“Sarang burung mengandungi sejenis protein yang terbukti mempunyai anti-influenza dan penggunaan kerap dapat menguatkan sistem pertahanan tubuh. Seperti yang mereka katakan, pencegahan lebih baik daripada mengubati,” kata Chua.

Pasukan penyelidik di Pusat Perubatan Universiti Malaya juga berkata sarang burung adalah terhad kerana ia hanya dapat dihasilkan semasa musim pembiakan burung walet. – 11 Februari, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen