Raja Abdullah tawar bantuan kewangan kepada Najib, kata saksi


Bede Hong

Bekas perdana menteri Najib Razak ketika tiba di kompleks mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadiri perbicaraan SRC International hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 Februari, 2020.

RAJA Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud pernah menawarkan bantuan kewangan kepada Najib Razak untuk membiayai pilihan raya umum ke-13, kata saksi.

Bekas duta Malaysia ke Arab Saudi Syed Omar Syed Mohamad Al-Saggaf ketika memberi keterangan berkata, beliau menyaksikan pertemuan antara bekas perdana menteri dan Raja Abdullah di Riyadh pada 11 Januari, 2010.

Pertemuan itu antara lain membincangkan mengenai Arab Spring dan tadbir urus kerajaan Malaysia.

“Di akhir pertemuan itu, saya melihat Raja Abdullah dan Najib meninggalkan bilik bersama dan mereka dilihat dalam sedang membincangkan beberapa perkara.”

“Kemudian selepas ia berakhir, saya difahamkan Raja Abdullah menawarkan bantuan kewangan untuk digunakan Najib dalam menguruskan hal politiknya pada pilihan raya umum.”

Pertemuan itu turut dihadiri menteri luar ketika itu, Anifah Aman dan bekas menteri hal ehwal agama, Jamil Khir.

Bagaimanapun, ketika soal balas oleh Timbalan Pendakwaraya V. Sithambaram, Syed Omar berkata beliau tidak mendengar apa yang diperkatakan oleh Raja Abdullah kepada Najib, tetapi beliau diberitahu sendiri oleh Najib berhubung bantuan yang didakwa.

Sithambaram: Saya letakkan kepada kamu bahawa sekiranya perdana menteri yang menerajui kerajaan menerima derma untuk kegunaan pilihan raya, ia dianggap campur tangan hal ehwal dalam Malaysia?

Syed Omar: Saya tidak tahu.

Sithambaram: Tetapi kamu dalam kenyataan kamu menyatakan wang berkenaan untuk tujuan membantu perdana menteri memenangi piihan raya. Adakah ia betul?

Syed Omar: Saya hanya tahu Raja itu mahu membantu, Ini yang diberitahu kepada saya oleh Datuk Seri Najib. Bukan oleh raja atau pihak istana.

Sithambaram: Kamu melihat mereka bergerak keluar bersama-sama. Tetapi secara peribadi kamu tidak tahu apa yang mereka kata antara satu sama lain. Kamu tidak mempunyai pengetahuan peribadi mengenai fakta-fakta yang dinyatakan?

Syed Omar: Tidak.

Sithambaram: Kemudian aru kamu tahu apa yang diperkatakan?

Syed Omar: Ya.

Sithambaram: Daripada siapa?

Syed Omar: Daripada Datuk Seri Najib.

Sithambaram: Sama ada betul atau tidak, kamu tidak tahu?

Syed Omar: Saya tidak tahu. – 10 Februari, 2020.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen