Lima terbunuh selepas pilihan raya di Nicaragua


Presiden Nicaragua Daniel Ortega selepas membuang undi pada pilihan raya perbandaran di Managua semalam. – Gambar AFP, 7 November, 2017.

SEKURANG-kurangnya lima orang mati dan 11 cedera dalam satu keganasan semasa dan selepas pilihan raya perbandaran pada hujung minggu di Nicaragua yang menyaksikan parti Presiden Daniel Ortega menang, kata pelbagai pemimpin parti dan media tempatan semalam.

Dua orang terbunuh dalam komuniti terpencil Sandy Bay Sirpi, di pantai Caribbean Nicaragua. Kedua-duanya adalah anggota parti Yatama, kata pemimpin parti tersebut, George Henriquez kepada AFP.

Seorang anggota Parti Perlembagaan Liberal ditembak mati di kepala ketika bertugas sebagai pegawai pengundi di utara bandar Wiwili, kata jurucakap parti tersebut, Jorge Irias kepada media.

Dua lagi yang terbunuh adalah anggota Parti Kebebasan Rakyat, di utara bandar Yali, kata pemimpin parti.

Panorama Electoral, kumpulan pemerhati pilihan raya yang beroperasi tanpa kebenaran rasmi, berkata ia telah mencatatkan empat kematian. Ia juga berkata 11 orang cedera ditembak di pelbagai kawasan, dan seorang wanita mengandung hilang di bandar San Miguelito.

Ketua Majlis Tertinggi Pilihan Raya, Roberto Rivas, berkata “situasi agak sukar di Yali” tetapi tidak menyebut tentang kematian.

Beliau menyeru rakyat supaya “bertenang” dan meminta pihak polis untuk menyiasat.

Polis Nicaragua tidak membuat sebarang kenyataan berhubung keganasan tersebut.

Majlis pilihan raya semalam mengisytiharkan Sandinista National Liberation Front (FSLN) sebagai pemenang dalam pilihan raya setempat dengan 68% undian sah.

Parti Perlembagaan Liberal berada di kedudukan kedua dengan 16%.

Ortega, bekas pemberontak Marxist, telah menjadi presiden sejak 2007. Dalam pilihan raya semula untuk penggal ketiga berturut-turut, beliau menjadikan isterinya, Rosario Murillo, sebagai naib presidennya.

Pengkritik berpendapat beliau telah menjadi semakin autokratik dan telah meletakkan Murillo untuk menggantikannya, namun rakyat secara umum tampak berpuas hati disebabkan di bawah pemerintahannya Nicaragua adalah sebuah negara yang stabil berbanding negara jiran, Honduras dan El Salvador.

Henriquez, dari parti Yatama berkata terdapat konflik antara anggota Yatama dan FSLN di kawasan Sandy Bay. Beliau menuduh ketua FSLN setempat telah membunuh dua anggota parti Yatama.

“Mereka membakar rumah masing-masing demi membalas dendam untuk mangsa, dan sekurang kurangnya 50 orang tela melarikan diri kerana takut akan serangan balas,” katanya.

Pembakaran dan konfrontasi politik dilaporkan berlaku di San Miguelito, di utara bandar Jalapa, dan di Pulau Corn, menurut media dan rangkaian sosial, bagaimanapun tiada pengesahan rasmi. – AFP, 7 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen