PAS bincang undi percaya PM dengan Umno esok


PAS akan membincangkan cadangan membentangkan undi percaya kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan Umno esok, lapor Malaysiakini.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dipetik berkata yang perbincangan akan diadakan pada mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Muafakat Nasional yang akan diadakan jam 8 malam esok di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Undi percaya itu perlu dibentangkan di Parlimen kerana wujud ketidakstabilan politik disebabkan isu peralihan kuasa perdana menteri kepada Anwar Ibrahim, katanya selepas  selepas merasmikan Konvensyen Kebajikan Nasional 2020 di Dewan Seri Kasih Bandar Tun Hussein Onn hari ini.

Tambahnya, cadangan itu adalah usul persendirian dan boleh dibuat mana-mana wakil rakyat tetapi terpulang kepada Dewan Rakyat untuk menerima atau menolaknya.

“Sebagaimana yang disebut Tun Mahathir, ahli parlimen menentukan sama ada dia perlu terus atau dia perlu serah (jawatan),” katanya.

Semalam, Dr Mahathir dalam wawancara dengan portal The Malaya Post berkata beliau akan menunaikan janji untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar, tetapi keputusan akhir terletak kepada wakil Dewan Rakyat.

Tambahnya, sekiranya calon tersebut tidak dapat meraih sokongan majoriti wakil rakyat walaupun berasal dari parti yang mempunyai kerusi majoriti, calon tersebut tidak boleh menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim enggan menjawab sama ada PAS akan meneruskan rancangan tersebut sekiranya tidak mendapat kerjasama Umno. – 9 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen