Aci, aci, buka pintu!


Izmil Amri

INI sebenarnya tulisan politik, meski tajuknya begitu.

P Ramlee banyak berkarya dengan sekadar bermodalkan pintu. Hatta salah satu karyanya yang malar segar dan kekal mampu mengundang rasa senang penontonnya, diberi judul Ahmad Albab – Ahmad Pintu.

Mungkin anda masih ingat babak itu. Budak baru lahir, menangis tak berhenti; namun apabila mendengar bunyi pintu diketuk, langsung senyap tidak bersuara.

Ya, cerita itulah. Yang ada jin menjaga harta di dalam gua. “Ini harta bukan kau yang punya. Ahmad Albab yang punya,” kata si jin.

Sebut tentang harta dalam gua, Ali Baba Bujang Lapok juga bercerita tentang pintu. Dua jenis pintu, secara tepat. Pertama pintu gua, keduanya pintu jamban. Pintu gua menyimpan harta yang dirompak penyamun, ada lagu buka dan tutup. Pintu jamban pula sepatutnya rumah si Kassim Baba, pintu rumah yang sepatutnya dirompak oleh para penyamun.

Selain filem, pintu juga menjadi modal P Ramlee menulis lagu. Siapa tidak ingat lirik ‘Aci, aci buka pintu’ yang dipersembahkan sebagai suatu pementasan dalam filem Nasib Labu Labi.

Pendeknya, dengan sekadar bermodalkan pintu, P Ramlee membina kerjayanya sebagai seorang pelakon, penerbit, pengarah, penulis lirik, pemain muzik dan entah berapa P lagi. Hanya dengan modal pintu.

Ada banyak jenis pintu

Pintu ada banyak jenis. Ini kita semua tahu. Dalam satu hari, seseorang individu berdepan dengan bermacam-macam pintu.

Bangun saja daripada lena, kita membuka pintu bilik tidur. Dari situ, kita membuka dan menutup pintu bilik air. Kemudian barangkali kalau rumahnya besar, mungkin kena buka pintu dapur; yang kemudian membawa kepada pintu peti sejuk. Sarapan, dan seterusnya membuka pintu rumah - mungkin dua lapis; sebelum beransur membuka pintu kereta.

Bergantung jenis rumah, mungkin ada pintu pagar sebelum kenderaan diundur keluar. Di tengah perjalanan pula, ada juga pintu berupa gerbang tol. Pintu ini hanya terbuka kalau mendapat bayaran.

Kemudian menganjur ke pintu pejabat, pintu bilik kerja, pintu bilik termenung, pintu stor tempat hisap rokok, pintu pejabat majikan untuk dimarahi sebab kantoi merokok, dan kemudian ditunjukkan pintu keluar, sebelum semua lapisan pintu tadi diulangi – hari demi hari.

Banyak betul pintu. Belum campur pintu bank, pintu masjid, pintu kecemasan, pintu, pintu dan pintu. Sampai naik menyampah kita menyebut kata ‘pintu’, kita terfikir kenapa ia dipanggil pintu.

Tetapi hari ini sebenarnya kita mahu bercerita tentang dua jenis pintu secara spesifik.

Pintu belakang

Hampir tiada konotasi positif tentang ‘pintu belakang’. Orang yang masuk ke rumah dari pintu belakang selalunya dianggap tetamu tak diundang. Perompak contohnya. Tidak dilupa juga eufemisme pintu belakang dalam aktiviti bersemburit. Itu juga bukan sesuatu yang dianggap baik dalam realiti masyarakat negara ini.

Sambil seluruh negara kalut bergelut dengan wabak, ada sekumpulan penyamun galak berusaha untuk cuba merampas kuasa dengan menggunakan suatu mekanisme yang dipanggil ‘kerajaan pintu belakang’.

Gerombolan yang mahu masuk kerajaan melalui pintu belakang ini tidak lain terdiri daripada gerombolan orang yang gelojoh mahu menjadi penguasa dengan menggunakan alasan emotif seperti agama, bangsa dan tanahair – disingkatkan oleh mereka ini sebagai ‘alif, ba, ta’.

Mereka menyangka perjuangan yang suci itu boleh diteruskan, meski menggunakan jalan si perompak dan penyamun.

Keterdesakan yang sebegini malangnya dikhabarkan tidak terhad kepada anggota parti pembangkang sahaja. Malah ada pemudahcara kononnya, daripada blok kerajaan juga. Entah dari mana pengkhianat-pengkhianat perubahan ini menemukan justifikasi untuk berpaling daripada janji perubahan yang telah meletakkan mereka di kerusi-kerusi empuk kerajaan.

Barangkali rasa malu masing-masing sudah diperosok ke pintu belakang mereka yang gelap dan kotor.

Pintu hadapan

Pada 9 Mei 2018, rakyat Malaysia telah mengusung sebuah perubahan yang dibawa terus ke pintu hadapan Istana Negara dan diperkenankan sebagai kerajaan untuk menguruskan negara atas nama Yang di-Pertuan Agong.

Ketika perkara itu berlangsung, gerombolan yang menyokong dan bersetuju dengan usaha ‘kerajaan pintu belakang’ tidak berhenti meratib bagaimana kerajaan sah yang masuk dan keluar melalui pintu hadapan istana itu hanya akan bertahan selama sepenggal.

Hari ini, gerombolan itulah juga yang terhegeh-hegeh mahu menyokong kerajaan yang sama. Bahkan sehingga sanggup memperbodohkan diri mahu membawa usul percaya kepada Perdana Menteri di Parlimen. Lalu kita pun ketawa. Mereka ini memang jarang kelakarnya tidak menjadi.

Begitulah nasib si lebai yang hobinya bertenggek di pintu penguasa. Tidak kiralah siapa pun penguasa itu, si lebai akan hadir dengan muka tersenyum membawa idea kerajaan perpaduan dengan alasan kaum dan tuhan – sambil mengetuk pintu tentunya. Depan atau belakang, dia tak kira.

“Tujuh puluh tiga pintu, tujuh puluh tiga jalan, yang sampai hanya satu jalan.”

Demikian bunyi satu lagi karya yang bermodalkan pintu.

Dalam demokrasi, banyak pintu boleh diketuk dan dibuka. Tetapi hanya satu pintu yang mengabsahkan tuntutan kuasa. Dan pintu itu kuncinya kertas undi kita semua. Tanpa melalui pintu yang itu, kita rakyat Malaysia pastinya tidak akan merasa jenuh menunjukkan laluan ke pintu keluar. – 10 Februari, 2020.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen