Seorang lagi pesakit koronavirus sembuh


The Malaysian Insight

Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata pesakit yang tidak dinamakan itu adalah kes keempat yang dikesan di Malaysia dan dikuarantinkan di wad isolasi Hospital Permai, Johor Bahru. – Gambar The Malaysian Insight, 8 Februari, 2020.

SEORANG lagi pesakit yang dijangkiti koronavirus sembuh selepas lebih dua minggu menerima rawatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisham berkata pesakit yang tidak dinamakan itu adalah kes keempat yang dikesan di Malaysia dan dikuarantinkan di wad isolasi Hospital Permai, Johor Bahru.

Pesakit itu dimasukkan ke hospital berkenaan pada 24 Januari lalu selepas disahkan positif koronavirus, katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Tambah beliau, selepas 15 hari menerima rawatan dan melalui ujian ulangan sebanyak tiga kali, pesakit tersebut disahkan negatif. Dia dibenarkan keluar hospital petang tadi, kata Noor Hisham. 

Ini menjadikan jumlah keseluruhan pesakit koronavirus baharu (2019-nCoV) 15 orang setakat hari ini.

Pada 5 Februari lalu, seorang kanak-kanak perempuan yang dirawat di Hospital Sultanah Maliha adalah pesakit pertama yang sembuh dari jangkitan virus itu dan dibenarkan pulang.

Mengulas lanjut perkembangan terkini ini, Noor Hisham berkata pesakit itu dimasukkan ke hospital dengan gejala demam panas dan radang paru-paru (pneumonia). Keadaannya bertambah tenat pada hari kedua selepas dimasukkan ke wad isolasi.

“Keadaan pesakit bertambah tenat pada hari kedua sehingga memerlukan bantuan oksigen. 

“Kajian X-ray dada pada hari keempat menunjukkan tanda-tanda jangkitan bertambah tenat,” katanya.

Tambah beliau, pihak hospital memulakan rawatan dengan ubat antiviral Kaletra pada 28 Januari ke atas pesakit terbabit.

“Selepas 8 hari rawatan, keadaan pesakit bertambah baik dan telah sembuh sepenuhnya.

“Alhamdulilah, tahniah kepada pasukan perubatan yang diketuai oleh Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit Dr Masliza Zaid. Jasa dan bakti anda semua amat dihargai,” kata Noor Hisham. – 8 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen