Lokman Adam belum fikir rayu keputusan dipecat Umno


Mohd Farhan Darwis

Lokman Noor Adam berkata beliau masih menunggu surat pengesahan rasmi berhubung pemecatannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2020.

LOKMAN Noor Adam berkata beliau masih belum membuat keputusan sama ada akan merayu atau tidak keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno yang didakwa memecat keahliannya dari parti itu semalam.

Kata Lokman, beliau masih menunggu surat pengesahan rasmi berhubung pemecatannya, memandangkan beliau hanya dapat tahu perkara itu melalui laporan media.

“Buat masa ini belum ada cadangan merayu, sebab saya tunggu surat rasmi, kalau ikut kawan-kawan MT beritahu saya dah dipecat, tapi surat tiada lagi.

“Setakat ini orang lain beritahu memang betul saya dipecat tapi tiada kenyataan di media,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Lokman bagaimanapun dipetik berkata sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung pemecatannya yang dikatakan tidak mengikut prosedur parti.

Sementara itu, Lokman menegaskan beliau tidak akan berhenti dalam perjuangannya sebaliknya akan terus menjadi agen semak dan imbang kerajaan Pakatan Harapan.

Katanya, beliau kini akan bergerak melalui sebuah badan masyarakat yang dikenali dengan nama Laskar Siber Malaysia.

“Saya akan terus memperjuangkan nasib rakyat. NGO ini akan menjadi badan semak imbang kerajaan dan bawa isu semasa, melalui media sosial untuk teruskan kerja beri kesedaran kepada rakyat supaya mereka buat pilihan tepat dalam pilihan raya umum akan datang,” kata Lokman.

Jelas beliau, Laskar Siber Malaysia akan meneruskan tugasnya, seperti yang beliau lakukan bersama Sekretariat Suara Rakyat Umno sebelum ini.

Semalam, Lokman mendedahkan MT Umno membuat keputusan memecat beliau dari parti. Lokman tidak hadir ke mesyuarat semalam.

Umno sehingga ini tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai kedudukan Lokman.

Pendedahan Lokman disahkan oleh seorang lagi ahli MT iaitu Mohd Puad Zarkashi yang menyifatkannya sebagai tidak adil dan selektif.

“Lokman dipecat sebagai ahli Umno atas syor biro politik, bukan atas syor lembaga disiplin.

“Apa fungsi lembaga disiplin?” katanya.

Lokman dipecat dipercayai susulan beberapa tindakannya yang dianggap melanggar etika ahli parti, termasuk mendedahkan butiran  mesyuarat parti serta berulang kali mengkritik kepimpinan parti secara terbuka di media sosial. – 8 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen