Bertemasya Di Wayang Budiman


Daniyal Kadir

PADA minggu lalu nun di Alam Budiman sana berhampiran kampus UiTM Puncak Perdana berdekatan Shah Alam, berlangsung acara perfileman paling ditunggu-tunggu, Temasya Wayang Budiman.

Wayang Budiman merupakan komuniti perfileman yang bergiat aktif melaksanakan pelbagai program termasuk tayangan filem, diskusi dan forum. Ia digerakkan oleh Pusat Kajian dan Apresiasi Filem (PKAF) yang ditunjangi oleh Azharul Azmir Kamarulzaman.

Azmir dibantu oleh sarjana filem terbaik negara ketika ini, Dr Norman Yusoff, pembikin filem muda, Muzzamer Rahman, penggiat teater dan penulis novel, Ridhwan Saidi serta beberapa kawan lain yang memiliki semangat dan minat tinggi terhadap filem.

Setiap tahun, Wayang Budiman akan menganjurkan program khas, Temasya Wayang Budiman yang diisi di dalamnya pelbagai segmen menarik tentang filem. Temasya ini berlangsung selama tiga hari dan jelas walaupun tempat acara ini agak jauh daripada akses pengangkutan awam, namun ia tidak menghalang khalayak untuk hadir beramai-ramai dan menikmati hidangan filem di sana.

Pada hari pertama diadakan tayangan filem-filem pendek bertemakan adaptasi. Sebanyak lapan filem pendek ditayangkan dan menarik untuk kita menyaksikan kesegaran dalam setiap filem berkenaan membawakan pengertian adaptasi pada mereka. Pilihan adaptasi dalam filem-filem pendek ini juga pelbagai daripada adaptasi dari filem kepada adaptasi teks dan teater.

Hari kedua di Temasya Wayang Budiman lebih meriah di mana ia dimulakan dengan peluncuran buku Siri Kumpulan Esei Wayang Budiman: Gambar Melayu Era Studio yang disempurnakan oleh pengarah filem tersohor negara, U-Wei HajiSaari.

Pihak Wayang Budiman wajar dipuji atas usaha ini kerana selama ini kita mengetahui betapa sukarnya untuk dapat menyelami dan membaca hal berkaitan sinema tempatan dan bahan bacaan yang ada jelas terhad.

Walaupun sekolah-sekolah filem di institusi pendidikan tinggi negara saban tahun menghasilkan penyelidikan dan tesis berkaitan filem, namun ia hanya dapat diakses oleh mereka yang berada di menara gading saja, orang awam kekal ketinggalan dan tidak dapat merasai nikmat apresiasi filem ini.

Buku ini menghimpunkan ese-esei yang meneroka pelbagai sudut sinema era studio negara dan ia berjaya menggerakkan pemerhatian terhadap filem ke tahap lebih baik dengan meneliti isu yang melingkarinya termasuk sosial, politik, gender, sejarah dan seni itu sendiri.

Temasya juga membawakan dua filem hebat arahan bapa perfileman Indonesia, Usmar Ismail berjudul Tiga Dara (1957) dan Lewat Djam Malam (1954). Kedua-dua filem ini jelas signifikan terhadap pembangunan sinema Asia Tenggara dengan pemaparan tema dan konflik yang jelas dan kuat dalam membincangkan masyarakat pada era berkenaan.

Tiga Dara hadir sebagai sebuah filem yang meneliti perhubungan gender dan permasalahan berterusan yang dihadapi. Ini termasuk memerhatikan aspek hubungan golongan tua dan muda dalam melihat dunia.

Lewat Djam Malam pula lebih gelap dari itu, ia meneliti aspek tekanan psikologi yang dihadapi tentera dan bagaimana pertentangan kelas mewujudkan pergeseran besar dalam membina tahap dan kedudukan setiap kelas dalam masyarakat.

Ia menghumbankan kita ke kancah lebih berdosa dan bersalah dalam melihat bagaimana pergelutan seorang yang gagah seperti tentera juga menderita secara diam-diam. Filem ini berjaya membincangkan dengan kritis aspek antiperang dan krisis maskuliniti yang berlaku.

Malaysia sememangnya berhadap dengan krisis dalam memelihara dan memulihara khazanah perfileman negara. Tiada usaha besar-besaran dilaksanakan ke arah itu. Lantas Temasya Wayang Budiman mengambil langkah tepat membawakan individu penting dalam aspek restorasi dan pemeliharaan filem sebagai khazanah.

Lisabona Rahman, seorang aktivis dan pengkritik filem terkenal di Indonesia. Beliau pernah menulis ulasan filem di Jakarta Post, terlibat dalam Kineforum dan pernah berkhidmat sebagai juruteknik restorasi filem di L’immagine Ritrovata di Bologna Itali.

Beliau bergiat aktif dalam lapangan pengarkiban dan restorasi filem. Beliau merupakan antara individu bertanggungjawab menyiapkan restorasi bagi filem yang dibikin bapa perfileman Indonesia, Usmar Ismail berjudul Tiga Dara dan Lewat Djam Malam.

Dalam sesi yang dikendalikannya, Lisa berkongsi pengalamannya dalam kerja-kerja restorasi filem dan telah memberikan beberapa buah fikiran yang bersesuaian tentang bagaimana Malaysia boleh menggerakkan usaha-usaha penting ini untuk memastikan filem-filem bermutu negara terus dapat dipelihara dengan baik.

Temasya Wayang Budiman juga menampilkan sisi lebih santai dengan acara pembacaan esei dengan tema pengalaman menonton wayang. Beberapa orang pembaca telah berkongsi cerita masing-masing dan melalui sesi ini kita dapat melihat bagaimana panggung wayang menjadi sebahagian daripada memori indah masyarakat. Sesi ini juga membuka kembali perbincangan tentang peranan besar yang dimainkan panggung wayang dalam kehidupan seharian.

Di Temasya ini turut diadakan sesi perbincangan meja bulat berkaitan komuniti filem di Malaysia. Ia menampilkan pelbagai komuniti filem utama di negara ini termasuk Bicara Filem KL Film School, Kelab Seni Filem Malaysia, Wayang Di-Atas, Panggung Pantai dan Kelab Filem dan Muzik Melayu Klasik.

Sesi ini mengupas peranan komuniti filem di Malaysia dan bagaimana ia mampu meningkatkan kefahaman dan membina penonton filem yang lebih baik di Malaysia.

Pengarah filem, Al Jafree Md Yusop turut ditampilkan pada Temasya kali ini dan beliau berkongsi pandangan dan idea mengenai aspek penulisan, pengarahan dan adaptasi filem di Malaysia.

Beliau merupakan orang yang tepat untuk membincangkan aspek adaptasi kerana beliau merupakan antara pembikin filem yang mempunyai pemahaman kukuh tentang proses adaptasi dan bagaimana adaptasi itu berfungsi dalam melahirkan filem-filem berkualiti.

Filem bukanlah sebuah medium yang berdiri sendiri dan sudah tentu adaptasi menjadi antara aspek yang mengukuhkan hubungan filem dengan medium lain termasuk sastera dan lukisan.

Temasya Wayang Budiman ditutup dengan cemerlang melalui tayangan filem Mencari Rahmat arahan Al Jafree yang diadaptasi daripada karya Oscar Wilde berjudul The Importance of Being Ernest.

Mencari Rahmat ialah sebuah tragik komedi yang kuat dan baik. Ia seperti pengalaman menyegarkan menonton sebuah filem yang memiliki keberanian dalam bentuknya. Ia antara filem penting tempatan dalam dekad ini dan Al Jafree membuktikan bagaimana beliau memiliki pemahaman mendalam terhadap struktur penceritaan dan lakon layar.

Wayang Budiman menjadi komuniti filem penting dalam beberapa tahun ini. Penganjuran acara tayangan saban minggu yang konsisten dan kerjasama berterusan dengan komuniti filem lain di seluruh negara menjadikannya serius dalam memberikan pengertian besar filem kepada khalayak Malaysia.

Didoakan Wayang Budiman terus kekal cergas membina penonton dan budaya perfileman paling kukuh di negara yang kita cintai ini. – 8 Februari, 2020.

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen