Lokman Adam dakwa dipecat dari Umno


Mohd Farhan Darwis SM Amin

Lokman Noor Adam akan dirujuk kepada Lembaga Displin Umn, kata Bung Moktar Radin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Februari, 2020.

LOKMAN Noor Adam mendakwa dipecat dari Umno, beberapa hari selepas mendedahkan cadangan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi untuk parti bekerjasama dengan Bersatu dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Majlis Tertinggi Bung Moktar Radin bagaimanapun berkata Lokman dirujuk kepada  Lembaga Disiplin parti.

Bung tidak menyebut alasan keputusan itu namun ia dipercayai susulan tindakan Lokman mendedahkan kepada umum butiran mesyuarat parti baru-baru ini.

“Ada bincang pasal Lokman Adam, kita serahkan kepada lembaga disiplin,” kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah itu, ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat MT Umno di PWTC, hari ini.

Selain mendedahkan butiran mesyuarat parti, Lokman juga berulang kali mengkritik kepimpinan parti secara terbuka di media sosial.

Dalam mesej kepada pengikutnya di Telegram, Lokman berkata beliau reda dengan tindakan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi terhadapnya.

Katanya, beliau akan tetap setia kepada Umno.

“Saya akan meneruskan perjuangan saya menentang Pakatan Harapan dan tali barut musuh di dalam Umno melalui sebuah NGO Laskar Siber Malaysia.

“InsyaAllah bila Najib Razak kembali menjadi Presiden Umno, saya akan memohon semula menjadi ahli Umno,” katanya.

Dalam reaksinya, Lokman juga berkata beliau dipecat sebagai ahli Umno melalui proses undian angkat tangan oleh anggota MT Umno dalam mesyuarat hari ini.

Selain itu, kebanyakan ahli MT Umno yang ditemui pemberita turut mengunci mulut mereka ketika disoal berkaitan butiran mesyuarat. 

Ketua Penerangan Umno Samsul Anuar Nasarah juga enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada mesyuarat hari ini membincangkan soal kerjasama bersama Dr Mahathir.

Difahamkan, mereka yang hadir hari ini turut dilarang daripada membawa telefon bimbit mereka ke dalam bilik mesyuarat.

Mesyuarat MT Umno hari ini menjadi perhatian selepas Lokman mendakwa terdapat perancangan untuk Umno bekerjasama dengan Dr Mahathir melalui pembentukan pakatan baharu.

Beliau juga sebelum ini kerap mempertikai keputusan dibuat pimpinan tertinggi Umno, seperti isu berkaitan  siasatan lembaga disiplin Umno terhadap bekas naib presiden Hishammuddin Hussein.

Seorang lagi anggota MT Umno, Ahmad Puad Zarkashi bagaimanapun tidak bersetuju dengan tindakan memecat Lokman dan menganggapnya sebagai tindakan kurang ajar.

Melalui hantaran di laman media sosialnya, Puad berkata, pemecatan Lokman dilakukan atas syor biro politik Umno tanpa melalui lembaga disiplin parti.

“Lokman  hari ini dipecat sebagai ahli Umno atas syor biro politik bukan atas syor embaga disiplin. Apa fungsi lembaga disiplin? 

“Kenapa Hishamuddin tidak dikenakan tindakan sama? Tidakkah perbuatan beliau mengadakan pertemuan beberapa kali dengan Dr Mahathir tanpa memaklumkan MT dan presiden Umno adalah melanggar disiplin parti, ia juga tidak menghormati institusi presiden,” kata Puad.

Puad berkata, beliau bukan mempertahankan Lokman, sebaliknya tindakan yang diambil seakan berat sebelah.

“Bukan kerana mahu mempertahankan Lokman tetapi tindakan mestilah adil dan jangan selektif. Apa pun saya telah menyuarakan pendirian saya ini dalam meyuarat MT, tetapi gagal,” katanya lagi. – 7 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen