'Bencana' menanti jika Arul Kanda ke Khazanah, kata Tony Pua


Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mendesak rakyat Malaysia membantah pelantikan Arul Kanda Kandasamy sebagai pengarah urusan Khazanah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2017.

IA akan menjadi satu bencana jika Arul Kanda Kandasamy dilantik menerajui kumpulan dana negara Khazanah Nasional, kata Tony Pua.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu memetik laporan oleh The Straits Times Singapura minggu lepas yang mengatakan Arul Kanda dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank CIMB, Zafrul Aziz adalah antara dua “orang luar” yang dipertimbangkan untuk mengambil alih jawatan sebagai pengarah urusan Khazanah daripada Azman Mokhtar yang tamat kontrak pada Mei 2019.

Laporan itu menyatakan Arul Kanda berkemungkinan besar akan menggantikan Azman susulan peletakan jawatan timbalan pengerusi Khazanah, Nor Mohamed Yakcop, yang menyokong agar pengganti Azman terdiri daripada kalangan Khazanah juga.

“Nampaknya ahli politik kanan dan orang-orang perniagaan yang rapat dengan Arul sedang melobi Perdana Menteri Najib Razak yang menjadi pengerusi Khazanah, berkuasa menentukan siapa yang penganti Azman,” kata Pua dalam satu kenyataan hari ini.

“Tidak sukar untuk membayangkan Najib memberikan tugas kepada lelaki yang sanggup mempertahankan imejnya dan menggambarkan 1MDB sebagai satu kejayaan.

“Namun, melantik Arul Kanda untuk memimpin Khazanah hanya akan menjadi bencana mutlak bagi dana kekayaan negara.”

Nor Mohamed meletak jawatan daripada Khazanah pada 30 September selepas selesai Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung kerugian berbilion dolar di Bank Negara Malaysia (BNM).

Pua juga berkata Arul Kanda membawa rekod memalukan semasa memimpin 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata 1MDB hanya mendapat masalah lebih besar dengan “rancangan rasionalisasi” yang dirancang oleh presiden dan ketua pegawai eksekutif 1MDB.

Pua juga berkata percubaan 1MDB untuk menjual 60% Bandar Malaysia adalah kegagalan kerana Kementerian Kewangan terpaksa menamatkan kontrak susulan pembeli gagal membuat bayaran mengikut jadual walaupun penangguhan diberi berulang kali.

“Lebih parah, Kementerian Kewangan mengembalikan RM741 juta ‘deposit’ walaupun 1MDB yang menerima wang. Hakikat Arul Kanda dipecat oleh Kementerian Kewangan daripada Bandar Malaysia Sdn Bhd secara praktikal memberitahu segala-galanya,” katanya.

Beliau berkata telah mengingatkan Najib yang kerugian sebanyak RM2.3 bilion ditanggung daripada penjualan aset tenaga 1MDB kepada China General Nuclear Corporation.

“Jawapan 1MDB, yang dirangka sendiri oleh Arul Kanda sendiri, cuba ‘memadamkan’ kerugian dengan dakwaan RM2.13 bilion dividen yang diterima oleh syarikat.

“Bagaimanapun, presiden 1MDB dan CEO secara sengaja lupa memasukkan kos faedah yang ditanggung 1MDB untuk membiayai pembelian aset tenaga. Seperti yang saya katakan sebelum ini, hanya seorang CEO setengah masak akan mengatakan ia menghasilkan keuntungan dengan dividen tanpa mengambil kira kos faedah,” kata Pua.

Beliau juga menggesa rakyat Malaysia memprotes pelantikan Arul Kanda kerana beliau terbukti tidak cekap untuk dipertimbangkan bagi jawatan itu. – 7 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen