PENULARAN wabak koronavirus menyebabkan aktiviti pelancongan di kawasan persisiran timur Sabah mengalami penurunan dan pengendali pusat peranginan berharap tindakan lanjut boleh diambil bagi membantu mereka mengekalkan perniagaan.
Mereka berharap bantuan seperti subsidi daripada pihak kerajaan untuk membantu mereka menempuh bulan-bulan yang mendatang ketika industri pelancongan mengalami kemurungan ekoran krisis kesihatan di China.
Di Singamata Adventures & Reef Resort dekat Semporna, pengarah urusannya berkata 90% tempahan bilik sudah dibatalkan.
Lebih buruk lagi, tiada tempahan baharu dibuat bagi tempoh tiga bulan akan datang.
“Ini sepatutnya menjadi waktu yang sibuk buat kami. Tahun sebelum ini, pelancong China akan membuat tempahan selepas Tahun Baharu China sehingga Hari Pekerja pada 1 Mei.
“Kami menjangkakan pengunjung yang ramai dan membuat persediaan bagi cuti perayaan dengan menambah jumlah pekerja dan makanan.
“Kini kami sudah melebihi kos, tetapi tiada pendapatan yang diterima,” kata Tong kepada The Malaysian Insight.

Sabah menggantung semua penerbangan masuk dari China sejak 30 Januari susulan penularan wabak koronavirus yang setakat ini sudah membunuh lebih 560 orang.
Setakat 6 Februari, Malaysia mencatatkan 14 kes positif koronavirus.
Tong bercadang untuk mengurangkan staf di pusat peranginannya, tetapi beliau mahu mengelakkan langkah itu semampu mungkin.
“Paling teruk, kami terpaksa menamatkan kontrak staf sementara. Kami akan membayar gaji seperti biasa, tetapi ia merupakan beban yang berat.”
Syarikat Tong juga mengendalikan beberapa pusat peranginan di kawasan pantai barat laut Sabah seperti MA Mantanani Adventures and Dive Resort, dan Tuaran Beach Resort.
Beliau berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan Sabah meningkatkan insiatif pelancongan negeri sehingga menyaksikan kira-kira 5,000 pelancong China pernah tiba di Sabah dalam sehari pada musim cuti perayaan.

Namun sejak penularan virus dan penggantungan penerbangan dari China, pusat peranginan miliknya di Semporna hanya mempunyai dua hingga tiga pelancong setiap hari.
Beliau berkata masih ada pelancong China di Sabah yang tiba sebelum penggantungan penerbangan tetapi apabila mereka meninggalkan negeri itu minggu depan, pusat peranginannya akan menjadi sepi.
Tong berharap penduduk dari Semenanjung akan bercuti di Sabah dan kerajaan persekutuan akan mempromosikan Sabah kepada negara lain sempena Tahun Melawat Malaysia 2020. – 6 Februari, 2020.
Berita penuh di sini
Komen