Sewa kondominium edar dadah, 2 warga India ditahan 


MENJADIKAN sebuah kondominium di Pantai Dalam, di Kuala Lumpur, sebagai tempat menyimpan dan mengedar dadah, kegiatan licik dua lelaki warga India akhirnya terbongkar dan ditahan polis tiga hari lepas.

Hasil risikan polis mendapati, kondominium berkenaan telah disewa RM1,800 sebulan oleh suspek selama setahun untuk mengedar dadah jenis ketamin dan syabu di sekitar Lembah Klang yang dianggar bernilai RM430,000.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP S. Shamugamoorthy Chinniah berkata dalam serbuan itu, pihaknya berjaya merampas ketamin di dalam beg galas dan beg silang selain syabu di ruang tamu premis tersebut.

Beliau berkata dadah berkenaan dipercayai di seludup ke Malaysia dari India menggunakan dalang utama yang masih berada di negara itu.

“Kami masih siasat bagaimana suspek membawa masuk dadah ini. Saringan air kencing kedua-dua suspek didapati negatif serta tiada rekod jenayah lampau. Suspek telah memasuki Malaysia dengan menggunakan pas lawatan sosial yang masih aktif,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di Kuala Lumpur.

Shamugamoorthy berkata kedua-dua suspek yang berumur 24 dan 26 tahun itu direman semalam tujuh hari bermula Selasa lepas hingga Isnin ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Selain dadah tersebut, pihaknya juga turut menyita sebuah motosikal bernilai RM3,000 selain merampas wang tunai RM500. – Bernama, 6 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen